Lebuh raya ditutup, penerbangan batal kerana kabus asap

Lebuh raya ditutup, penerbangan batal kerana kabus asap

Kabus asap yang tebal di utara China menyebabkan lebuh raya ditutup dan ratusan penerbangan dibatalkan.

china-airport
BEIJING: Kabus asap yang tebal di utara China hari ini menyebabkan ratusan penerbangan dibatalkan dan lebuh raya ditutup, menjejaskan hari pertama Tahun Baharu.

Sebahagian besar kawasan utara negara itu dilanda kabus asap berbahaya sejak pertengahan Disember lagi, menyebabkan pihak berkuasa mengarahkan ratusan kilang menutup operasi dan mengehadkan pengguna jalan raya.

Pencemaran terbaharu ini bermula sejak Jumaat dan dijangka berlarutan hingga Khamis, dan akan berkurangan pada Isnin, iaitu hari terakhir cuti Tahun Baharu.

Di Beijing, 126 penerbangan di lapangan terbang utama dibatalkan dan semua perjalanan bas menuju ke bandar berhampiran dihentikan, menurut agensi berita Xinhua.

Kepekatan purata zarah kecil yang dikenali sebagai PM2.5 melebihi 500 mikrogram setiap meter padu di Beijing – 50 kali ganda lebih tinggi daripada paras yang dibenarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Di Tianjin, kabus asap tidak separah di Beijing tetapi pemandangan lebih teruk terjejas, menyebabkan 300 penerbangan terpaksa dibatalkan di lapangan terbang Tianjin. Keadaan dijangka tidak berubah menjadi lebih baik dalam masa terdekat, menurut pegawai kerajaan.

Menurut Xinhua, lebuh raya menghala masuk dan keluar daripada jiran Beijing itu juga ditutup.

Di Shijiazhuang, ibu negeri wilayah Hebei yang mengelilingi Beijing, kira-kira 2 dozen penerbangan dibatalkan dan 8 penerbangan dihalakan ke lapangan terbang lain akibat kabus asap, lapor People’s Daily.

Dua puluh empat bandar di negara itu sudah mengeluarkan amaran paras merah, yang membenarkan langkah kerajaan menutup kilang dan menyekat penggunaan kereta, manakala 21 bandar lain mengeluarkan amaran paras jingga, termasuk Beijing dan Tianjin.

China mengisytiharkan perang melawan pencemaran pada 2014 tetapi belum berjaya menangani masalah itu secara berkesan.

Amaran pencemaran menjadi kebiasaan di utara China, terutamanya pada musim sejuk apabila permintaan untuk batu arang meningkat.

Wilayah utara negara itu masih bergantung kepada pembakaran jutaan batu arang setiap tahun bagi tujuan pemanasan pada musim sejuk.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.