Ibu bapa, anak teruja sesi persekolahan bermula

Ibu bapa, anak teruja sesi persekolahan bermula

Terdapat sekolah yang memulakan hari pertama persekolahan dengan membawa watak adiwira bagi menarik minat pelajar terutamanya murid tahun 1.

murid-sekolah_600
KUALA LUMPUR:
Hari pertama sesi persekolahan 2017 di kebanyakan negeri hari ini diwarnai pelbagai reaksi dan emosi terutama murid tahun 1.

Terdapat sekolah yang memulakan hari pertama persekolahan dengan membawa watak adiwira bagi menarik minat pelajar terutamanya murid tahun 1.

Hujan renyai di sekitar ibu negara pagi tadi menyukarkan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke sekolah seawal 7 pagi, namun tidak menghalang sesi persekolahan yang bermula pada hari ini.

Empat negeri memulakan sesi persekolahan pada 1 Jan iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Johor.

Bagi beberapa sekolah di Terengganu, Kelantan dan Johor sesi persekolahan terpaksa ditangguhkan akibat banjir dan fenomena ombak besar.

Sementara itu, tinjauan di Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), Sekolah Kebangsaan Setiawangsa di sini menyaksikan 340 murid tahun satu memulakan persekolahan.

Bagi akauntan Nur Azizah Abdullah, 43, beliau sanggup mengambil cuti selama 2 hari bermula semalam untuk menyediakan keperluan anak bongsunya, Nur Arissa Kaisara Maidin memulakan hari pertama persekolahan.

“Semestinya saya tidak akan melepaskan peluang untuk menemani Arissa, dan saya juga dapat mengimbau nostalgia memandangkan dia anak bongsu saya,” katanya.

Seorang pekerja swasta, Amran Kadir, 33, melahirkan rasa teruja kerana pertama kali menghantar anak bongsunya ke alam persekolahan.

“Tentunya pengalaman ini sangat bermakna, kerana sebelum ini saya tidak berpeluang menghantar anak saya ke sekolah pada hari pertama persekolahan berikutan kekangan kerja,” kata bapa kepada 3 anak itu.

Di Putrajaya, seramai 3,564 murid tahun satu memulakan sesi persekolahan di 14 sekolah rendah di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini.

Pengarah Pendidikan Putrajaya Roaini Jaafar berkata bilangan murid tahun satu di Putrajaya meningkat berbanding tahun lalu iaitu seramai 2,900 murid berbanding 2,236 pada tahun lepas.

“Seramai 1,675 guru berkhidmat di sekolah rendah dan menengah di sekitar Putrajaya berbanding hanya 1,500 guru pada tahun lepas,” katanya pada sidang media sesi persekolahan 2017 di sini.

Pada masa sama, Roaini berkata bagi jumlah keseluruhan, terdapat seramai 25,483 murid dan pelajar di sekolah rendah dan menengah di Putrajaya bagi tahun ini.

Di Perak, Pengarah Pendidikan Perak Mat Lazim Idris berkata seramai 32,463 murid tahun satu berdaftar di 852 sekolah seluruh negeri membabitkan Sekolah Kebangsaan; Sekolah Jenis Kebangsan (SJK) Cina; SJKC Tamil; Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan Sekolah Pendidikan Khas.

Di Pahang, Pengarah Pendidikan Pahang Datuk Rosdi Ismail berkata Kuantan mencatatkan bilangan tertinggi murid tahun satu berdaftar iaitu 8,076 orang daripada 23,400 murid tahun 1 yang berdaftar di seluruh negeri.

Di Perlis, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Perlis, Azman Ghazali berkata sesi persekolahan di seluruh negeri berjalan lancar dengan seramai 3,788 murid tahun 1 mendaftar di 74 sekolah rendah bagi memulakan sesi persekolahan.

Di Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri merekodkan 26,387 murid tahun 1 berdaftar di 1,072 sekolah seluruh negeri tahun ini, kata Pengarah Datuk Maimunah Suhaibul.

Maimunah yang mengadakan tinjauan di Sekolah Menengah (SM) All Saints dan Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) St Agnes berkata seramai 13,377 pelajar memulakan persekolahan di 219 sekolah menengah manakala 27,626 murid prasekolah di bawah Kementerian Pendidikan direkodkan pada tahun ini.

Di Sarawak, seramai 241,685 murid sekolah rendah dan 198,912 pelajar sekolah menengah di seluruh negeri memulakan hari pertama sesi persekolahan di 1,264 sekolah rendah dan 190 sekolah menengah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.