
Peneroka dari Jengka, Bera dan Keratong itu turut menyerahkan memorandum bantahan kepada Felda.
Ketua Penerangan PKR Lee Chean Chung yang mewakili peneroka terbabit berkata Felda perlu membatalkan tindakan berkenaan kerana EHP sendiri mengalami kerugian RM100 juta dan pembelian saham itu hanya membebankan peneroka untuk menanggung hutang.
Beliau berkata harga purata EHP pada November ialah 212 rupiah sesaham, tetapi harga pembelian 580 rupiah sesaham.
“Kerugian bersih EHP untuk 9 bulan pertama pada 2016 mencecah RM100 juta, hasil juga jatuh 22.5% kepada RM532.7 juta dalam tempoh tersebut,” katanya ketika ditemui di Menara Felda hari ini.
Sebelum ini, Felda memaklumkan mendapat pembiayaan kerajaan bagi membeli 37% ekuiti dalam syarikat ladang Indonesia, EHP.

Felda menerusi anak syarikatnya, FIC Properties Sdn Bhd sebelum ini memaklumkan akan membeli 37% kepentingan dalam syarikat Indonesia, EHP pada harga AS$505.4 juta (RM2.26 bilion).
Lee berkata Felda sudah berhutang RM6.1 bilion pada 2014 dan sebarang urus niaga melibatkan hutang baharu akan menyebabkan kewangan dan hutang Felda makin parah.
Katanya, ini akan membawa kesan langsung kepada kecairan tunai Felda dan boleh menjejaskan keupayaan Felda untuk melaksanakan program tanam semula bagi peneroka.
“Baki tunai Felda hanya RM685 juta pada 2015. Pastinya Felda memerlukan pinjaman ataupun jaminan kerajaan untuk membeli saham EHP.
“Pelaburan RM2.26 bilion sebaiknya dibuat ke atas Felda Global Venture (FGV) kerana nilainya lebih baik berbanding EHP,” katanya.