
Abdullah Saidol berkata, ketua menteri Sarawak tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dasar kek halal McDonald’s.
Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan seorang setiausaha politik Adenan daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berhubung dasar itu dibuat atas kapasiti peribadi beliau sendiri.
“Perlu diingatkan McDonald’s adalah sebuah entiti perniagaan, polisi yang diumumkan McDonald’s adalah satu keputusan perniagaan mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini yang dipetik Bernama.
Abdullah tidak faham bagaimana isu kek halal McDonald’s boleh berunsur fanatik dan perkauman.
Katanya, Adenan lebih mementingkan isu berkaitan kebajikan dan keperluan rakyat, khasnya di luar bandar serta usaha mendapat lebih banyak peruntukan dari kerajaan persekutuan untuk membangunkan negeri itu.
“Saya percaya warga negeri cukup matang untuk tidak mudah terpengaruh dengan isu remeh ini. Negeri kita tidak akan menyambut sesiapa yang berfikiran atau bersikap suka berburuk sangka serta ekstremis.
“Semua warga negeri yang berbilang bangsa dan agama tanpa mengira fahaman politik bertanggungjawab memastikan keharmornian dan keamanan dikekalkan lebih daripada agenda politik,” katanya sambil menambah Sarawak ialah contoh terbaik negeri yang mempunyai tahap perpaduan berbilang bangsa serta toleransi tinggi.
Beliau berkata, sikap toleransi dan menghormati sensitiviti kaum serta agama lain perlu menjadi jati diri setiap rakyat Sarawak, mereka yang gagal menghormati sentimen itu dan sering menunjukkan sikap anti perpaduan mesti dibenci dan dipinggirkan.
Polisi ‘kek halal’ McDonald’s boleh berdepan boikot di Sarawak