
Air naik, setinggi bumbung di beberapa bahagian, menjejaskan hampir sejuta mangsa di 10 wilayah selatan Thailand sejak hujan lebat bermula seminggu lalu, kata Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan.
Sekurang-kurangnya 18 maut dan seorang masih lagi hilang, dengan banjir menenggelamkan jalan raya, kebun serta memusnahkan lebih 1,500 sekolah di wilayah itu.
Hujan lebat dijangka berterusan untuk sekurang-kurangnya 2 hari lagi, menurut Jabatan Meteorologi Thailand, yang turut memberi amaran banjir kilat.
“Keadaan sangat teruk hari ini dan esok. Hujan masih lebat,” kata pegawai meteorologi Junjuda Pornsri.
Pangkalan tentera di seluruh negara sudah digerakkan untuk membantu mangsa banjir berpindah, menyediakan tempat berteduh sementara dan mengagihkan bantuan kecemasan, kata kerajaan semalam.
Di wilayah Nakhon Si Thammarat yang teruk dilanda banjir, 2 helikopter tentera dihantar untuk menghantar makanan kepada keluarga yang terperangkan dalam rumah mereka di daerah Cha-uat.
Bapha Suthiphanya, 60, yang sudah 3 malam berada di pusat pemindahan di daerah itu berkata dia terpaksa meninggalkan rumahnya selepas air naik hingga ke paras melebihi kepalanya.
“Saya terkejut dan takut. Saya tidak pernah lihat air seperti itu dan saya tidak boleh berenang,” katanya.
Hujan monsun biasanya lebat pada masa ini di Thailand, yang lazimnya akan diikuti dengan tempoh kering dan cuaca sejuk selama 3 bulan bermula November.
Ia musim puncak kedatangan pelancong memenuhi resort di pulau peranginan, memperkasa sektor penting iaitu pelancongan di negara itu.
Negara jiran Malaysia juga dilanda banjir teruk awal minggu ini, dengan ribuan terkandas di pusat pemindahan di beberapa negeri.
Tetapi semalam, jumlah mangsa yang dipindahkan di Kelantan dan Terengganu menurut kepada kira-kira 13,500 berbanding 23,000 pada Rabu, susulan keadaan cuaca bertambah baik.