Suami lacur isteri anggap wanita hanya ‘barang’

Suami lacur isteri anggap wanita hanya ‘barang’

Pengarah Eksekutif WAO Sumitra Visvanathan berkata lelaki sanggup melacurkan isteri mereka kerana tidak ada rasa hormat terhadap wanita itu.

sumitra-wao-1
PETALING JAYA:
Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) percaya lelaki yang memaksa isteri mereka melacur tidak pernah melihat seorang wanita sebagai manusia.

Pengarah Eksekutif WAO Sumitra Visvanathan berkata lelaki sanggup melacurkan isteri mereka kerana tidak ada rasa hormat terhadap wanita itu.

“Dalam fikirannya, wanita itu tidak ada hak untuk membuat pilihan dan tidak ada integriti sebagai manusia, jadi akhirnya wanita itu hanya seperti barang. Lelaki itu boleh melacurkan barang,” katanya kepada FMT.

Sumitra berkata kebanyakan wanita yang menderita penderaan rumah tangga juga hilang keyakinan diri, menyebabkan nilai diri mereka hilang.

“Bila lelaki memegang kuasa dan kawalan, dalam kes penderaan rumah tangga, kuasa dan kawalan itu diambil daripada wanita berkenaan,” katanya.

Beliau berkata wanita yang didera selalunya terlalu takut untuk melaporkan perbuatan lelaki terbabit kerana 2 sebab.

“Pertama ialah sebab sosial, kerana masyarakat ada jangkaan tertentu terhadap anda sebagai isteri, dan kedua kerana undang-undang kita tidak membantu melindungi mereka.

“Kita tidak ada undang-undang terhadap jenayah seperti rogol dalam perkahwinan, contohnya,” katanya.

Sumitra, yang juga seorang peguam berkata undang-undang terkini menyatakan isteri boleh melaporkan jika hubungan seks dalam perkahwinan menyebabkan kecederaan fizikal kepadanya, tetapi biasanya keadaan itu sukar dibuktikan.

“Bayangkan betapa sukar untuk seorang wanita tampil dan membuktikan seks yang dilakukan bersama suami menyebabkan kecederaan fizikal kepadanya. Jadi, sementara penderaan itu masih berterusan, sebenarnya sukar mendapatkan gambaran keadaan sebenar,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan seorang lelaki yang menjual isterinya kepada lelaki warga asing untuk seks dengan bayaran RM50 ditahan polis dalam serbuan di rumahnya di Bandar Amanjaya, Sungai Petani.

Ketua Polis Kuala Muda ACP Md Zukir Md Isa berkata mangsa dipaksa melacur sejak awal bulan lalu selepas suaminya berhenti kerja.

Lelaki terbabit ditahan reman sehingga Selasa untuk membantu siasatan kes itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.