Polis Belanda rampas serpihan MH17 daripada wartawan

Polis Belanda rampas serpihan MH17 daripada wartawan

Wartawan bebas dari Belanda ditahan polis ketika tiba di lapangan terbang Schiphol pada Sabtu selepas melawat dan menulis artikel mengenai penemuannya di kawasan nahas MH17 terhempas.

mh17-polis
THE HAGUE:
Polis Belanda merampas beberapa barangan daripada seorang wartawan termasuk, kemungkinan cebisan atau objek daripada mayat, yang ditemui di kawasan pesawat MH17 terhempas di timur Ukraine, kata pihak pendakwa semalam.

Wartawan bebas Michel Spekkers didatangi polis ketika beliau tiba di lapangan terbang Schiphol pada Sabtu selepas melawat dan menulis artikel mengenai penemuannya di kawasan nahas itu.

Pesawat Boeing 777 milik Malaysia Airlines itu ditembak jatuh ketika merentasi ruang udara di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal, yang kebanyakannya ialah warga Belanda.

Siasatan jenayah diketuai Belanda pada September memutuskan peluru BUK, dibawa dari Rusia, menembak jatuh pesawat itu selepas tembakan dilepaskan dari sebuah padang di bahagian bergolak Ukraine yang pada masa itu dikawal pemberontak pro Rusia.

Pendakwa dalam satu kenyataan pada Ahad berkata Spekker “enggan menyerahkan bahan fotografi dan filem dari kawasan nahas” ketika tiba di lapangan terbang berhampiran Amsterdam itu.

Bahan itu termasuk “pelbagai beg berisi bahan logam dan objek yang mungkin daripada mayat”, dan semuanya kini akan diperiksa secepat mungkin.

Spekker menerusi Twitter pada Sabtu berkata beliau memang hendak menyerahkan barangan itu secara sukarela, tetapi akhirnya semua barangan miliknya dirampas termasuk kamera, telefon dan komputer riba.

Dalam tulisannya di akhbar harian Noordhollands Dagblat, Spekker berkata beliau melawat tapak nahas itu ketika dalam perjalanan ke Donetsk untuk menulis mengenai kehidupan harian di situ, selepas dimaklumkan yang masih banyak serpihan bersepah di kawasan itu.

Katanya, beliau nampak banyak benda bertebaran di atas salji – termasuk tulang – dan merakamkan semuanya dalam video, dengan ada antara barangan itu dilabelkan dan disimpan dalam beg plastik ziplock.

Dalam artikelnya di akhbar tempatan Belanda itu, Spekker berkata beliau rasa “tidak selesa dan rasa tidak upaya”, hairan mengapa barangan seumpama masih ada di sini, dan terfikir adakah pihak berkuasa Belanda akan membiarkan saja tapak nahas seperti itu, jika ia berlaku di tanah Belanda.

Beliau memutuskan untuk membawa pulang “sejumlah kecil” barangan berkenaan dengan harapan mungkin ada jawapan kepada soalan yang masih belum terjawab.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.