Serbuan demi serbuan, rokok seludup tetap hidup

Serbuan demi serbuan, rokok seludup tetap hidup

Kerajaan hilang RM4 bilion daripada hasil jualan rokok disebabkan pasaran rokok dikuasai rokok seludup. Namun perbezaan besar harga rokok seludup dan rokok sah membuatkan masalah itu berterusan.

rokok-seludup
KUALA LUMPUR:
Di saat kos sara hidup yang memuncak ditambah dengan harga rokok yang naik saban tahun, rokok seludup terus menjadi pilihan perokok di Malaysia.

Dan kerana permintaan yang sentiasa ada, banyak kedai runcit yang tetap menjual rokok seludup walaupun dengan risiko tindakan undang-undang.

Semuanya menurut hukum permintaan dan penawaran. Pelanggan terus mencari rokok seludup untuk berjimat, dan peniaga menjualnya bagi meraih keuntungan.

“Memang salah di sisi undang-undang tetapi saya tetap jual secara sembunyi sebab nak tambah keuntungan, walaupun tidaklah banyak sangat.

“Bandingkan (purata) harga rokok ini iaitu RM5 dengan rokok Dunhill yang beharga RM17.50 sekotak dan pasti akan naik lagi,” kata Devi, pemilik sebuah kedai runcit di Gombak, Selangor.”

Menurutnya, pelanggannya termasuklah orang berjawatan tinggi.

Penjualan rokok seludup terus berleluasa sejak beberapa tahun lalu, walaupun dengan operasi pihak berkuasa seperti polis, kastam dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kerajaan dilaporkan kehilangan hasil cukai rokok sejumlah RM4 bilion pada 2015 dengan hampir 40% pasaran rokok dikuasai rokok seludup.

Pengeluar rokok British American Tobacco Malaysia Berhad (BAT Malaysia) pula dilaporkan akan menutup sepenuhnya operasi kilang mereka di Petaling Jaya tahun ini akibat kemerosotan jualan.

Sementara itu, pekerja kedai runcit di Setapak yang hanya ingin dikenali sebagai Ratna berkata, mereka terpaksa menghadkan pengambilan stok rokok seludup bagi mengelakkan denda yang terlalu tinggi.

“Kedai kami sudah kena denda sebanyak 4 kali. Tetapi ‘bos’ tetap jual walaupun dengan stok yang sedikit sebab pelanggan sentiasa ada.

“Misalnya (rokok keretek) Gudang Garam, biasanya kami hanya simpan 2 karton pada satu masa. Kalau ada operasi, denda tidaklah tinggi sangat,” kata warga Indonesia itu lagi.”

Penjual ternyata berhati-hati dalam menjualnya, apabila beberapa kedai runcit enggan ditemubual malah tidak mengaku menjualnya, walaupun jelas kelihatan rokok seludup di sebalik kaunter.

Di bawah Akta Kastam 1967, mereka yang didapati bersalah menjual barangan seludup berhadapan hukuman penjara tidak lebih 3 tahun atau denda tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan, atau kedua-duanya sekali.

Bagi yang mengulangi kesalahan sama, boleh dipenjara tidak lebih 5 tahun atau denda 40 kali nilai barangan, atau kedua-duanya sekali.

Devi menceritakan pengalamannya dengan pihak berkuasa 2 tahun lalu, apabila 5 pegawai kastam menyerbu kedainya.

“Yang pelik hanya kedai saya diserbu. Suami saya ditahan selama 3 hari dan selepas dihadapkan ke mahkamah, kami dikenakan denda RM10,000,” katanya.

Beliau mendakwa mendapat maklumat yang serbuan tersebut dilakukan ekoran laporan yang dibuat oleh syarikat rokok.

“Memang ada pekerja syarikat rokok yang membuat pemerhatian di kedai runcit. Mereka juga pernah menasihatkan agar tidak menjual rokok seludup sebab jualan mereka jatuh teruk,” tambahnya.

Selepas pengalaman itu, beliau tetap mengambil risiko meneruskan jualan bagi menambahkan pendapatan.

“Walaupun untung jual rokok seludup tidaklah tinggi iaitu kira-kira RM1 sekotak, tetapi ia tetap bermakna untuk menyara keluarga di zaman semua mahal ini,” katanya lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.