
Pemaju hartanah dan penerbit majalah yang berwajah keanak-anakan berusia 36 tahun itu akan menjadi ahli termuda dalam pentadbiran, bekerja rapat dengan ketua kakitangan Reince Priebus dan ketua strategi Steve Bannon.
“Jared menjadi aset besar dan penasihat paling dipercayai sepanjang kempen dan peralihan ini dan saya berbangga dia memegang peranan utama dalam pentadbiran saya,” kata Trump, presiden AS daripada Republican yang baru dilantik.
Pelantikan itu diumumkan 2 hari sebelum Trump dijangka memberikan sidang media pertamanya sejak pemilihan presiden pada November, di mana beliau akan memperincikan pelan untuk syarikatnya dan kemungkinan konflik kepentingan yang akan timbul ketika beliau berada di White House.
Kushner, yang mengahwini anak perempuan sulung Trump, Ivanka dikatakan menjadi pemikir utama dalam kempen presiden yang memfokuskan kepada merangka mesej dan menggunakan media sosial ke tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Menerusi peralihan itu, Kushner berkata beliau akan melepaskan gajinya sepanjang berkhidmat dalam pentadbiran itu.
Forbes menganggarkan Kushner bernilai AS$1.8 bilion bersama ibu bapa dan adiknya.
Pengumuman itu dikatakan tidak ada kaitan dengan undang-undang nepotisme atau konflik kepentingan lain dan Kushner sudah melantik pasukan guamannya.
Undang-undang persekutuan diluluskan selepas presiden sebelum ini, John F. Kennedy melantik abangnya sebagai peguam negara, melarang mana-mana presiden melantik saudara sendiri.
Letak jawatan CEO
Melihat kepada kebergantungan Trump terhadap Kushner, sejak beberapa minggu lalu penasihat berkata mungkin akan ada kelonggaran untuk White House berbanding jawatan Kabinet.
Tetapi The New York Times pada hujung minggu lalu membangkitkan apa yang dipanggil “kabus etika” yang perlu dikemudikan oleh Kushner dengan pada masa sama menasihati bapa mentuanya mengenai dasar yang boleh menjejaskan pegangan perniagaannya.
Di bawah kepimpinannya, kumpulan hartanah Kushner Companies melengkapkan transaksi lebih AS$14 bilion dan AS7 bilion pemerolehan sejak 2007, menurut laman webnya.
Kushner dan adiknya menjadi pengasas bersama syarikat pelaburan mereka. Beliau seorang pelabur aktif dalam syarikat teknologi dan menjadi lembaga pengarah dalam beberapa syarikat baharu.
Peguamnya berkata Kushner akan meletakkan jawatan sebagai CEO Kushner Companies dan “melupuskan aset besar mengikut garis panduan persekutuan”.
“Kushner komited untuk mematuhi undang-undang etika persekutuan dan kami berunding dengan Pejabat Etika Kerajaan berkenaan langkah yang perlu diambil,” kata Jamie Gorelick dari firma guaman WilmerHale yang juga bekas timbalan peguam negara dalam pentadbiran presiden Bill Clinton, menerusi satu kenyataan.
Kushner, isteri dan 3 anak mereka juga dilaporkan berpindah ke kawasan perumahan berhampiran kejiranan Washington di mana Presiden Barack Obama akan menetap sementara anak bongsunya tamat sekolah menengah.
Sangat setia dan mampu menyimpan rahsia, Kushner menjadi individu penting di samping Trump, 70, sekali gus membuktikan beliau ialah penasihat paling dipercayai meskipun kurang pengalaman politik.
Pengaruhnya sangat kuat sehinggakan pegawai peralihan memberitahu Obama, perkara berkaitan dasar asing yang perlu dibawa kepada presiden baharu kena disampaikan melalui Kushner, lapor New York Times.
Trump memberitahu Times pada November yang Kushner, berketurunan Yahudi juga berbakat dan boleh membantu “mengamankan Timur Tengah”.
“Setiap presiden yang pernah saya kenal akan ada seorang atau 2 orang yang sangat beliau percaya,” kata bekas setiausaha negara Henry Kissinger kepada Forbes hujung tahun lalu.
“Saya rasa Jared mungkin orangnya,” katanya.
Sangat berbeza daripada bapa mentuanya, Kushner mengelak dikenali ramai dan jarang bercakap kepada media.
Tetapi seperti Trump, beliau mengambil alih perniagaan hartanah keluarganya dan memindahkan fokus syarikat ke Manhattan.
Anak bertuah, beliau membesar dalam keluarga penyumbang kepada Democrat di New Jersey, sebelum melanjutkan pelajaran ke Harvard dan New York University.
Beliau masih belajar ketika rakan pembantu Trump, Chris Christie, yang juga peguam negara AS pada masa itu, memenjarakan bapanya kerana mengelak cukai, mengganggu saksi dan sumbangan kempen haram.
Kushner bangkit dan mengambil alih perniagaan keluarga. Sepuluh tahun kemudian beliau memasukkan akhbar gaya hidup The New York Observer dalam syarikatnya dan mengembalikan keuntungannya dengan menukar ia kepada online.
Beliau sangat setia dan berkali-kali mempertahankan Trump daripada tuduhan anti-Semitisme, menyiarkan artikel pendapat pada Julai lalu dan menjadikan keluarganya yang terselamat daripada kejadian Holocaust, sebagai rujukan.