
“Tindakan itu dilakukan secara pantas dan tiba-tiba, dan kakitangan diberitahu pada hari sama edisi terakhir diterbitkan pada 7 Nov, dimana mereka dimaklumkan akan ditamatkan pekerjaan mereka seminggu kemudian,” tulis seorang wartawan Brunei dalam Nikkei Asian Review (NAR) menggunakan nama samarannya Ahmed Mansoor.
“Walaupun alasan rasmi ialah akhbar itu ditutup atas sebab kewangan, ramai dalam kalangan awam membuat spekulasi ada sesuatu yang tak kena. Tidak ada syarikat besar yang akan menggulung tikar secara tiba-tiba tanpa memberi amaran awal kepada kakitangan dan pemegang saham,” tambahnya.
Menurutnya, tindakan itu juga sejajar dengan hubungan intim Brunei dengan kerajaan Arab Saudi, terutama dalam konteks kedua-dua negara itu melaksanakan undang-undang syariah yang lengkap dengan hukuman hudud.
Ahmed berkata ia bukan sesuatu yang memeranjatkan di kala ekonomi Brunei menerima tempias kejatuhan harga minyak sedunia, sumber utama negara kecil yang dikuasai keluarga diraja terkaya di dunia itu.
Minyak membentuk 60% daripada keluaran dalam negeri kasar dan lebih 90% daripada hasil kerajaan Brunei. Bagaimanapun, akibat kemerosotan minyak, hasil kerajaan turun 70% antara 2013 dan awal 2016.
Defisit belanjawan dijangka mencecah AS$2.65 bilion bagi tahun fiskal berakhir Mac, bersamaan dengan kira-kira 17% daripada KDNK dan pada kadar yang lebih tinggi daripada Greece ketika kemuncak krisis Eurozone, lapor NAR.
China, mendapati kerajaan Brunei sedang bergelut, menawarkan bantuan.
“Sebagai balasan kepada pelaburan AS$6 bilion untuk kilang penapisan minyak dan prasarana tempatan, serta janji meningkatkan kerjasama perdagangan dan pertanian, Brunei berdiam diri tentang tuntutan Beijing di Laut China Selatan, dan enggan mengkritik pelabur terbesarnya itu walaupun ia mempunyai tuntutan bertindih.
“Malah laporan media tempatan yang kritikal sudah cukup untuk mengundang bantahan daripada kedutaan China, menekan kerajaan Brunei supaya mengetatkan kawalan.”
Menurutnya, laporan berkenaan Arab Saudi itu memberi peluang kepada pihak berkuasa Brunei untuk menutup sebuah pertubuhan media yang berpengaruh dan berani berterus-terang.
Penutupan Brunei Times, kata NAR, menyebabkan ketiadaan perbincangan kritikal dan kekurangan pandangan alternatif.
NAR berkata tekanan seperti itu menyebabkan pertubuhan media di Brunei memilih jalan selamat dengan memainkan cerita “ringan”.