Sehingga kita berjumpa lagi daddy…

Sehingga kita berjumpa lagi daddy…

Aziza berkata, ayahnya mengajar beliau mengenai kemurahan hati, keikhlasan dan kebaikan serta 'sentiasa berpijak di bumi nyata tidak kira betapa mewahnya hidup anda'.

Aziza-Adenan
PETALING JAYA:
“Keranda beliau layak ditutup bendera Sarawak kerana beliau hidup dan bernafas untuk Sarawak.”

Ini mungkin sanjungan tertinggi kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dan ia datang daripada anak perempuannya, Aziza.

“Semalam, saya baru sahaja kehilangan sebahagian hati dan jiwa saya. Saya perlu menghadapi realiti kehilangan ayah. Ia adalah masa paling sukar buat saya sekarang dan saya mendapat ketenangan dalam kasih yang setiap orang ada untuk arwah ayah saya,” kata wanita berusia 33 tahun itu yang paling bongsu antara 5 anak Adenan.

Aziza dalam satu kenyataan dihantar kepada FMT berkata, orang dari jauh dan dekat datang mengucapkan selamat tinggal dan berkongsi cerita menakjubkan tentang ayahnya yang meninggal dunia tengah hari semalam di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak, beberapa hari menjelang ulang tahun kelahirannya ke-73.

Beliau menyifatkan Adenan sebagai negarawan yang meletakkan negeri dan rakyatnya dekat di hati dan sehingga saat-saat terakhir masih memikirkan Sarawak.

Aziza kemudiannya mengaitkan perbualan ibunya, Puan Sri Jamilah Anu dengan ayahnya hanya untuk menggambarkan cinta Adenan untuk Bumi Kenyalang.

Adenan memberitahu Jamilah: “Saya mahu orang menyayangi Sarawak sebanyak mungkin seperti saya, Milah kerana jika mereka berbuat demikian, mereka akan menjaga ia dengan baik.”

Aziza berkata, ayahnya mengajar beliau mengenai kemurahan hati, keikhlasan dan kebaikan serta “sentiasa berpijak di bumi nyata tidak kira betapa mewahnya hidup anda”.

“Tolong doakan Allah merahmati roh beliau dan memberi kekuatan kepada kita semua untuk menghadapi hari-hari mendatang tanpa beliau.”

Mengimbau perbualan dengan ayahnya, Aziza berkata, Adenan sentiasa mengingatkan beliau supaya “tidak mengucapkan selamat tinggal, kata Au revoir iaitu sehingga kita berjumpa lagi”.

“Sehingga kita berjumpa lagi daddy. Semoga Allah ampunkan semua dosa dan menempatkan roh daddy di jannah. Amin”

Sementara itu, pemimpin kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah turut memberikan penghormatan kepada Adenan dengan berkata, Sarawak kehilangan seorang pemimpin hebat yang dalam masa singkat berjaya membawa impak besar kepada rakyat Sarawak dan Malaysia.

Katanya, amat jarang mendengar komen negatif mengenai presiden PBB itu yang berjaya menyatukan rakyat Sarawak berbilang bangsa dan agama.

“Malah pembangkang pun suka dan sangat menghormati beliau. Beliau membuka laluan untuk penggantinya dan Sarawak.

“Beliau akan dirindui. Bagi saya secara peribadi, saya kehilangan seorang pemimpin, bapa, mentor, kenalan rapat dan kawan. Semoga beliau ditempatkan di syurga,” kata Karim yang juga Menteri Muda Perumahan.

Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem meninggal dunia

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.