‘Kredibiliti kewangan Malaysia jadi pertaruhan akibat hutang besar’

‘Kredibiliti kewangan Malaysia jadi pertaruhan akibat hutang besar’

Azrul Mohd Khalib berkata, negara mana yang membiayai projek mega di Malaysia tidak penting, selagi kerajaan mampu membayar hutangnya.

Azrul-Mohd-Khalib-1
PETALING JAYA:
Malaysia mempertaruhkan kredibiliti kewangan antarabangsanya dengan hutang besar yang ditanggung kerajaan ketika nilai ringgit merosot dan ekonomi negara lembap, kata sebuah badan pemikir.

Pengurus hubungan luar Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Azrul Mohd Khalib berkata, negara mana yang membiayai projek mega di Malaysia tidak penting, selagi kerajaan mampu membayar hutangnya.

Beliau berkata, adalah penting untuk menangani isu hutang dengan cara “rasional dan terancang”.

Beliau mengakui Putrajaya mencari sumber kewangan untuk pembangunan infrastruktur dengan niat memperbaiki keadaan ekonomi negara dan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang dibiayai China adalah satu daripada inisiatif itu.

“Hutang tetap hutang, tidak kira berhutang dengan negara atau institusi apa.

“Apa yang perlu dibimbangkan ialah sama ada kita mampu membayar faedah dan pinjaman yang jumlahnya amat besar. Dengan masalah kemerosotan ringgit, ekonomi tidak berkembang dan pinjaman besar, kredibiliti kewangan antarabangsa kerajaan dipertaruhkan,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, aktivis sosio-ekonomi, Azlan Awang memberi amaran kepada Putrajaya terhadap risiko Malaysia menghadapi masalah sama seperti Sri Lanka kerana berhutang terlalu banyak dengan China.

Azlan merujuk perjanjian Sri Lanka memajak Pelabuhan Hambantota kepada sebuah syarikat, di mana China akan mempunyai 80% pegangan selama 99 tahun yang menyebabkan rusuhan tercetus.

Perusuh bimbang tanah di sekitar pelabuhan itu akhirnya menjadi jajahan China. Azlan berkata, perjanjian pelabuhan itu adalah akibat kegagalan Sri Lanka membayar pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Mattala Rajapaksa yang dibiayai China.

Bekas timbalan ketua setiausaha perbendaharaan, Tan Sri Ramon Navaratnam bersetuju dengan Azlan yang Putrajaya perlu berhati-hati terhadap hutang besar dengan China, ekoran masalah dihadapi Sri Lanka.

Ahli ekonomi veteran itu berkata, Malaysia perlu menjadi “perunding terbaik” ketika berurusan dengan pelabur asing, tidak kira mereka datang dari China atau negara lain.

Bagaimanapun katanya, ekonomi Malaysia lebih kuat daripada Sri Lanka, menjadikan ia lebih mudah untuk Putrajaya mendapatkan “perjanjian lebih baik” dengan Beijing.

Apa jadi jika berhutang terlalu banyak dengan China, soal aktivis

Malaysia tidak akan pajak aset kepada China, kata Johari

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.