
Ketua Pegawai Operasi MRT Laluan Sungai Buloh–Kajang, Rapid Rail Sdn Bhd Muhammad Isom Azis berkata sepanjang tempoh perkhidmatan percuma selama sebulan, MRT menerima 27,000 ke 30,000 pengguna secara purata setiap hari.
“Jumlah ini dikira memberangsangkan memandangkan laluan belum diintegrasikan sepenuhnya,” katanya pada sidang media sempena Sesi Tinjauan Mesra bersama media di Stesen MRT Sungai Buloh, Selangor hari ini.
Isom berkata pihaknya berharap jumlah penumpang akan bertambah kepada 40,000 hingga 50,000 sehari bermula hari ini selari dengan usaha mempromosikan penggunaan perkhidmatan MRT kepada umum.
“Kita juga meneruskan usaha untuk menggalakkan pengguna menggunakan sistem tanpa tunai, yang bukan saja memudahkan perjalanan, tetapi juga dikenakan tambang yang lebih rendah berbanding bayaran tunai mengikut jarak perjalanan, ” katanya.
Beliau berkata operasi MRT yang memulakan sistem bayaran berkuat kuasa hari ini secara keseluruhannya berjalan lancar.
Perkhidmatan fasa pertama MRT antara stesen Sungai Buloh-Semantan melibatkan 12 stesen sejauh 21 kilometer meliputi stesen Sungai Buloh, Kampung Selamat, Kwasa Damansara, Kwasa Sentral, Kota Damansara, Surian, Mutiara Damansara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Phileo Damansara, Pusat Bandar Damansara dan Semantan.
Pengguna dikenakan bayaran antara RM1.20 dan RM3.90 bergantung kepada jarak perjalanan di bawah struktur tambang tunai dan antara RM1.20 dan RM3.40 di bawah sistem tanpa tunai bermula hari ini.
Pelajar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) ditawarkan diskaun 50%.
Bagi fasa kedua, MRT SBK Line yang melibatkan laluan 30 km untuk 19 stesen dari Semantan ke Kajang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 31 Julai ini.
Penumpang boleh mendapatkan butiran lanjut mengenai struktur tambang MRT dengan melayari laman sesawang myrapid.com.my.