LHDN guna ‘pemberi maklumat’ buru pengelak cukai

LHDN guna ‘pemberi maklumat’ buru pengelak cukai

Seramai 120 penguat kuasa LHDN mula membuat kunjungan mesra ke atas 400 pemberi maklumat di Kuala Lumpur sejak semalam, bagi mendapatkan butiran pengelak cukai.

lhdn-tax
PETALING JAYA:
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melancarkan operasi memburu pihak tidak membayar cukai di seluruh negara melalui kaedah mendapatkan butiran pengelak cukai daripada “pemberi maklumat”, kata Datuk Mohd Nizom Sairi.

Timbalan ketua pegawai eksekutif (pengurusan) itu yang dipetik Sin Chew Daily berkata, 120 penguat kuasa LHDN mula membuat kunjungan mesra selama 2 hari ke atas 400 pemberi maklumat di sekitar Kuala Lumpur sejak semalam, bagi mendapatkan butiran percukaian mengenai pengelak cukai.

“Pemberi maklumat” itu mempunyai urusan perniagaan dengan pengelak cukai dan mereka yang dikenal pasti perlu memberi maklumat kepada LHDN.

Katanya, ia termasuk bayaran dibuat individu atau syarikat, seperti komisen diberikan kepada ejen insurans dan broker saham, maklumat mengenai lesen, sewa dan pajakan seperti permit jualan, insentif untuk projek dan tender, bekalan serta jualan runcit petrol atau diesel dan jualan hartanah.

Ia juga membabitkan sektor perkhidmatan, termasuk perkhidmatan profesional, bayaran kepada artis, maklumat mengenai khidmat nasihat, kerajaan dan agensi kerajaan merangkumi insentif kontrak dan tender.

Beliau berkata, operasi itu bertujuan menyelesaikan masalah mengelak cukai, meningkatkan kesedaran rakyat terhadap pembayaran cukai, mengurangkan jurang perbezaan kutipan cukai dan menambah pendapatan cukai langsung negara.

Katanya, LHDN akan menyerahkan Surat Q kepada pemberi maklumat yang dikenal pasti dan menerangkan cara menggunakan sistem pengumpulan maklumat dikenali sebagai e-SMUP dalam usaha mengumpul lebih banyak maklumat berkualiti di pangkalan datanya.

Nizom berkata, semua pemberi maklumat perlu membalas Surat Q itu dalam tempoh 30 hari atau mereka akan diberikan surat peringatan jika gagal berbuat demikian.

Mengikut Seksyen 120 (1) Akta Cukai Pendapatan 1967, pemberi maklumat boleh didenda tidak kurang RM200 dan tidak lebih RM20,000 atau dipenjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya, jika mereka tidak memberi maklum balas dalam tempoh 21 hari.

Tambahan, katanya, LHDN juga boleh mengeluarkan kompaun RM200 hingga RM2,000 kepada pemberi maklumat yang ingkar.

Melalui operasi kali ini, beliau berkata, LHDN akan menyerahkan Surat Q kepada 27 pemberi maklumat baharu dan 176 surat peringatan kepada pemberi maklumat tidak menjawab Surat Q serta peringatan terakhir kepada baki 197 pemberi maklumat yang ingkar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.