Mahkamah batal ambil alih 26 ekar tanah bina masjid

Mahkamah batal ambil alih 26 ekar tanah bina masjid

Ia kes yang layak dan sesuai untuk rayuan campur tangan apabila keputusan dan penghakiman Mahkamah Tinggi tidak disokong bukti, kata Mahkamah Rayuan.

Rosli-Dahlan
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan pengambilalihan 26 ekar tanah milik pemaju bagi pembinaan masjid di Batang Berjuntai, Selangor tidak sah.

Panel 3 hakim diketuai Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim berkata Mahkamah Tinggi gagal menilai keterangan di hadapannya dan khilaf terhadap fakta dan undang-undang.

“Ini adalah kes yang layak dan sesuai untuk rayuan campur tangan apabila keputusan dan penghakiman Mahkamah Tinggi tidak disokong bukti malah bercanggah dengan keterangan itu,” kata Abang Iskandar ketika membenarkan rayuan oleh United Allied Empire Sdn Bhd (UAE).

Mahkamah juga memberikan kesemua 24 pelepasan dipohon UAE, termasuk penaksiran ganti rugi bagi pemerolehan secara salah.

Mahkamah mengenakan kos berjumlah RM50,000 terhadap pengarah Tanah dan Galian Selangor, pentadbir tanah dan kerajaan negeri Selangor.

Mahkamah juga mengenakan kos RM50,000 terhadap pihak berkuasa agama Selangor dan Lembaga Zakat Selangor.

Peguam Rosli Dahlan, yang mewakili UAE, memberitahu pemberita, penghakiman ini menjadi perubahan penanda aras bagi undang-undang pengambilalihan tanah.

“Kes ini menjelaskan kedudukan undang-undang hak pemilik tanah di bawah prosedur yang pengambilan tanah mesti dipatuhi kerana pemilikan tanah adalah hak asas di bawah Perlembagaan Persekutuan dan rampasan adalah zalim,” katanya.

November lalu, Mahkamah Rayuan menolak pendapat undang-undang diberikan Jabatan Peguam Negara yang cuba memujuk panel hakim agar tidak mempertimbangkan pekeliling digubal jabatan itu mengenai pemberian hak milik tanah di negeri ini.

Pada 2013, UAE mengemukakan kelulusan membangunkan tanah seluas 26 ekar dan menyediakan satu ekar untuk masjid.

Sebaliknya, negeri mengambil alih keseluruhan 26 ekar yang kononnya untuk membina masjid 26 ekar.

Pemaju memohon campur tangan daripada menteri besar Selangor dan perdana menteri tetapi tidak mendapat sebarang bantuan.

UAE kemudian memfailkan semakan kehakiman dan mendakwa pengambilalihan adalah berniat jahat yang bertujuan mewujudkan sebuah bank tanah bagi pihak berkuasa agama di Selangor.

Rosli sebelum ini menggesa mahkamah menghalang pihak berkuasa agama “tidak merompak dengan menggunakan nama Tuhan”.

Beliau turut menunjukkan keterangan yang diberikan pihak berkuasa agama adalah bercanggah dengan tujuan pengambilalihan tanah yang disiarkan dalam warta kerajaan.

Selain Rosli, UAE diwakili Bahari Yeow dan Ho Ai Ting manakala pembantu penasihat undang-undang negeri Selangor, Naziah Mokhtar mewakili pihak berkuasa negeri.

Peguam Kamaazura Md Kamel dan Siti Rahimah Khalil mewakili pihak berkuasa agama negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.