Kad PayWave tak mudah digodam, kata perunding IT

Kad PayWave tak mudah digodam, kata perunding IT

Ridzman berkata, kad PayWave dilengkapi ciri keselamatan tinggi, termasuk untuk pembayaran secara PayWave yang mana setiap transaksi dibuat adalah unik.

Mohd-Ridzman-Azzahari_paywave_600
KUALA LUMPUR:
Dakwaan kononnya data dan maklumat peribadi pemegang kad PayWave boleh digodam bukan sesuatu yang mudah dilakukan seperti dihebohkan di media sosial.

Perunding teknologi maklumat (IT), Mohd Ridzman Azzahari tidak menolak kemungkinan itu, namun ia tidak semudah disangka berdasarkan ciri keselamatan tinggi kad berkenaan.

“Kad itu dilengkapi ciri keselamatan tinggi, termasuk untuk pembayaran secara PayWave yang mana setiap transaksi dibuat adalah unik,” katanya.

Ridzman yang juga pengarah urusan Onemyr Awareness, sebuah syarikat perunding berkaitan jenayah siber berkata demikian kepada Bernama sebagai mengulas video berhubung dakwaan itu yang viral di Internet dan media sosial ketika ini.

“Sehingga kini, berdasarkan laporan Bank Negara tiada sebarang aduan dibuat mengenai kecurian menggunakan PayWave ini,” katanya.

Sementara itu, menurut laman web rasmi Visa, platform Visa PayWave berdasarkan teknologi cip EMV yang terjamin dan selamat, yang menyediakan perlindungan data dan keselamatan transaksi menerusi penggunaan kekunci serta teknologi penyulitan terkini.

Menurutnya, transaksi Visa PayWave diproses menerusi rangkaian pembayaran sama dan boleh dipercayai seperti cip EMV dan transaksi jalur magnetik.

“Kami mencipta Visa PayWave untuk memastikan ia sentiasa berada dalam kawalan pemegang kad. Peruncit atau penjual perlu terlebih dahulu memasukkan amaun pembelian bagi kelulusan dan kad anda perlu diletakkan betul-betul dekat dengan pembaca kad (dalam jarak 4cm) bagi membolehkan transaksi dilakukan.

“Terminal hanya boleh memproses satu transaksi pembayaran pada satu-satu masa,” katanya.

Bank Negara jamin kad PayWave selamat, data tak boleh dicuri

Kad ATM, kredit PayWave lebih mudah dicuri data?

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.