Pakar ekonomi yakin strategi Najib mampu kekang pengaruh China

Pakar ekonomi yakin strategi Najib mampu kekang pengaruh China

Pakar ekonomi yakin dasar keterbukaan perdana menteri terhadap pelabur asing akan memastikan kedaulatan negara selamat daripada sebarang ancaman kuasa luar.

ho-ke-ping
PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi veteran menepis kebimbangan sesetengah pihak terhadap kemungkinan kedaulatan negara diancam ekoran peningkatan hubungan perdagangan dengan China.

Hoo Ke Ping, yang menerbitkan beberapa buah buku mengenai kewangan antarabangsa berkata keterbukaan kerajaan terhadap pelaburan daripada pelbagai kuasa ekonomi memastikan Malaysia selamat daripada ancaman tersebut.

Beliau menegaskan Malaysia mempunyai hubungan perdagangan yang penting dengan Amerika Syarikat (AS), Jepun dan India.

Bercakap kepada FMT, Hoo berkata dasar pentadbiran keterbukaan Najib terhadap perdagangan antarabangsa berbeza daripada Dasar Pandang Ke Timur (LEP) dilakukan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Di bawah LEP, Dr Mahathir berusaha menggalakkan rakyat mengubah persepsi terhadap negara Barat sebagai model peranan dan melihat ke arah Jepun dan Korea.

“Dengan LEP, banyak kontrak kerajaan diberikan kepada syarikat bukan Jepun, terutama syarikat British, dibatalkan,” kata Hoo.

“Hanya 4 tahun sebelum Dr Mahathir menjadi perdana menteri, ekonomi Malaysia sebahagian besarnya adalah milik British dan pelabur asing.

“Najib, di sisi lain, tidak membatalkan kontrak syarikat bukan China. Projek baru China yang dibiayai di Malaysia semuanya adalah projek baru. Tidak seperti Dr Mahathir, Najib tidak bertindak begitu.”

Hoo berkata, Najib dan Dr Mahathir cuba menarik pelaburan tetapi sifat pelaburan adalah berbeza.

Beliau berkata Jepun berusaha menubuhkan industri di Malaysia manakala China berminat untuk membangunkan projek mega infrastruktur yang tidak mampu dilakukan syarikat tempatan disebabkan kekangan kewangan.

“Dengan China, mereka tidak hanya datang untuk melabur tetapi juga berkembang,” katanya.

“Mereka merancang melaburkan berbilion ringgit dalam projek dan akan mempunyai kesan berganda ke atas ekonomi.”

Beliau memberi contoh kemasukan RM6 bilion daripada Pelabuhan Pulau Pinang, projek pelabuhan RM43 bilion Gateway Melaka dan RM55 bilion bagi projek Landasan Kereta api Pantai Timur (ECRL) .

Beliau mengakui China mempunyai kepentingan geopolitik dalam pembiayaan projek mega tetapi berkata ia tidak bermakna Malaysia dijual kepada Beijing, seperti didakwa sesetengah pihak, termasuk Dr Mahathir.

“Kita tidak menjual negara melalui projek ini, tetapi kita membenarkan China mempunyai kedudukan kukuh di negara dan rantau ini,” katanya.

“Selagi Najib mengekalkan pendirian terbuka dengan mengambil kira kuasa besar yang lain, seperti Amerika Syarikat, Jepun dan India, dan menarik pelaburan dari negara ini, maka kita boleh mengimbangi pengaruh China.”

Hoo juga menolak kenyataan Dr Mahathir yang menyebut penjualan rumah untuk warga China akan mengubah landskap politik negara.

Beliau berkata, mereka membeli rumah itu sebagai pelaburan dan melakukan perkara sama di banyak tempat di seluruh dunia.

Tahun lalu, Malaysia dan China menandatangani perjanjian perdagangan bernilai kira-kira RM144 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.