
Liow, yang juga presiden MCA, berkata kadarnya ialah RM20, sama seperti yang dikenakan terhadap kenderaan memasuki negara ini dari Singapura.
“Kami perkenalkan caj ini untuk melindungi negara kita. Kita bukan saja melaksanakannya terhadap kenderaan berdaftar di Singapura, tetapi juga yang berdaftar di Thailand dan Indonesia.
“Semua sempadan kita akan memperkenalkan RC,” katanya kepada media selepas merasmikan Pusat Perkhidmatan MCA Temiang di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pemuda MCA Datuk Chong Sin Woon.
Pada Khamis, Liow berkata kenderaan yang masuk ke Malaysia dari Thailand akan dikenakan caj jalan raya bermula Jun ini.
Malaysia mula melaksanakan RC sebanyak RM20 di Tambak Johor dan Link Kedua pada 1 November tahun lepas.
Bagaimanapun, Singapura berkata tindakan mengenakan RC hanya terhadap kenderaan yang datang dari republik itu bersifat menindas.
Negara itu kemudian berkata pihaknya akan menarik balik Caj Jalan Raya Timbal Balas (RRC) sebanyak S$6.40 (RM20), yang dijadual mula dikuatkuasakan pada 15 Februari, sebaik saja Malaysia mengenakan RC di semua sempadan daratnya.
“Saya gembira dengan respons Singapura yang mereka tidak akan memperkenalkan RRC sekiranya kita mengamalkan pendekatan tidak bersifat menindas.
“Sejak mula lagi, saya memaklumkan kepada Singapura kita tidak bertujuan untuk menindas negara itu.
“Kita perkenalkan langkah itu semata-mata untuk menjamin keselamatan trafik dan kenderaan dari Singapura ke Malaysia,” katanya.
Liow berkata langkah itu juga diambil bagi mengelak penggunaan kenderaan klon dan untuk memastikan semua saman dibayar sebelum kenderaan asing meninggalkan Malaysia.