Trump angkat sumpah presiden, ikrar era politik baharu

Trump angkat sumpah presiden, ikrar era politik baharu

Mendahulukan kepentingan Amerika Syarikat, dan menghapuskan pengganas Islam radikal, kata Donald Trump

Donald-Trump_sumpah
WASHINGTON:
Presiden Donald Trump ditabalkan 1.05 pagi tadi (12.05 tengah hari Jumaat waktu Washington) dengan ikrar “mendahulukan kepentingan Amerika Syarikat”, menandakan era politik baharu selepas mengangkat sumpah ketua negara AS ke-45.

Hujan membasahi ratusan ribu orang yang memenuhi taman negara National Mall untuk menyaksikan hartawan Republican berusia 70 tahun itu mengangkat sumpah jawatan awam dan menyampaikan ucapan populis yang lantang.

“Mulai hari ini, wawasan baharu akan membentuk negara kita,” kata Trump, menjanjikan pengakhiran untuk kelaziman politik Washington. “Mulai saat ini, hanya ‘America First’.”

“Hari ini kita bukan sahaja memindahkan kuasa daripada pentadbiran lama kepada pentadbiran baharu, atau dari satu parti kepada parti lain, tetapi memindahkan kuasa dari Washington DC kepada rakyat.”

“Bersama kita jadikan Amerika kembali kuat. Kita jadikan Amerika kembali mewah. Kita jadikan Amerika negara yang boleh dibanggakan. Kita jadikan Amerika kembali selamat. Kita jadikan Amerika kembali hebat,” kata Trump.

Sebelum itu, pemimpin AS itu meletakkan tangan kirinya pada Injil yang digunakan oleh Abraham Lincoln dan membacakan sumpah 35 perkataan yang dibacakan sejak George Washington.

Walaupun ibu negara AS tidak lagi menyediakan jumlah kehadiran rasmi, kehadiran kali ini tampak lebih kecil berbanding pertabalan Barack Obama pada 2009 dan 2013, melihat kepada kekosongan di sesetengah kawasan taman dan tempat duduk di tepian laluan perarakan.

Apabila Trump menggembleng penyokongnya ke upacara pertabalan hari ini, penentangnya juga turun berhimpun di Washington.

Beberapa tunjuk perasaan — oleh kumpulan aktivis anti-perkauman, anti-perang, feminis, LGBT, pro-imigresen dan penyokong amalan pengambilan marijuana — bising tetapi aman, walaupun dicemari beberapa kejadian ganas.

Kira-kira 400 dan 500 penunjuk perasaan berpakaian serba hitam, bertopeng dan mengibarkan bendera anarki memecahkan tingkap, membakar tayar dan bertempur dengan polis anti-rusuhan di pusat bandar Washington, beberapa blok dari perarakan memuliakan Trump.

Lebih 90 orang ditangkap polis kerana merosakkan harta benda.

Malah penunjuk perasaan yang aman juga berhasrat merosakkan acara sambutan Trump — melaungkan cemuhan yang memekakkan telinga apabila limosin presiden yang digelar “The Beast” melalui kawasan mereka menuju ke Rumah Putih.

“Bukan presiden saya! Bukan presiden saya!” kata mereka, manakala penyokong Trump yang sedang berteduh di seberang jalan melaungkan “USA! USA!”

Selamat tinggal Obama

Pertabalan Trump menandakan kebangkitan seorang ahli perniagaan hartanah yang tidak pernah dilantik menjadi wakil rakyat, berkhidmat dalam kerajaan atau angkatan tentera.

Ucapannya jauh daripada kebiasaan ucapan pertabalan yang cuba merapatkan jurang politik dan memberi harapan kepada rakyat AS.

Trump menggambarkan sebahagian negaranya tidak ubah seperti neraka distopia, golongan ibu yang terperangkap dalam kemiskinan dan “kilang berkarat yang tersebar di merata tempat umpama batu nisan”.

“Kekejaman ini perlu dihentikan sekarang juga,” katanya.

Ucapan itu berbeza daripada pesanan Obama, yang turut menghadiri acara hari ini bersama jemputan tetamu kehormat lain.

Obama dan isteri, Michelle, meninggalkan Capitol dengan helikopter selepas acara angkat sumpah, mengakhiri 8 tahun pentadbiran Demokrat di Rumah Putih.

Di acara makan tengah hari Kongres selepas itu, Trump mengetuai tepukan gemuruh untuk pesaingnya Hillary Clinton, kerana “mendapat penghormatan” apabila Hillary dan suami, bekas presiden Bill Clinton, menghadiri pertabalannya.

Trump dicemuh apabila mengumumkan niatnya untuk menyertai pemilihan presiden AS pada Jun 2015.

Dalam pesanannya kepada para penyokong hari ini, beliau berkata: “Lelaki dan wanita yang dilupakan negara ini akan didengari.”

Pengkritik Trump tidak dapat percaya lelaki yang pernah mengacarakan rancangan TV realiti “The Apprentice” 19 tahun lalu kini menjadi pemimpin dunia — Trump mengangkat sumpah dengan rating sokongan 37%, yang terendah dalam sejarah, menurut tinjuan CBS News.

Pengganas Islam radikal

Trump tanpa membuang masa menandatangani pengecualian untuk bekas jeneral James Mattis bagi mengenepikan had tempoh 7 tahun sebelum seorang anggota tentera boleh memegang jawatan kanan Setiausaha Pertahanan.

Mattis disahkan Senat hari ini.

Trump turut menandantangani pengisytiharaan “hari patriotik”.

Dalam beberapa minggu mendatang, kumpulan Trump merancang untuk mengundurkan agenda Obama.

Trump juga berjanji untuk mengkaji semula perikatan dengan sekutu di Eropah dan Asia.

“Sudah berdekad lama kita memperkayakan industri asing dan mengabaikan industri tempatan, mensubsidikan tentera negara lain dan mengabaikan tentera kita,” katanya.

“Kita akan mengukuhkan perikatan lama dan wujudkan perikatan baharu dan menyatukan tamadun dunia menentang pengganas Islam radikal, yang akan kita hapuskan dari muka bumi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.