Fasa ke-4 banjir di Terengganu pulih

Fasa ke-4 banjir di Terengganu pulih

Pusat pemindahan terakhir di Setiu yang menempatkan 54 mangsa daripada 9 keluarga itu ditutup pada jam 9.45 pagi tadi.

Terengganu_banjir_600
KUALA TERENGGANU:
Fasa ke-4 bencana banjir di Terengganu tamat hari ini dan pusat pemindahan terakhir di daerah Setiu ditutup pagi tadi.

Ketua Sektreteriat Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, pihaknya bagaimanapun masih dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Mengikut ramalan pihak meteorologi, keadaan cuaca dalam amaran jingga, terutama di daerah Kemaman, esok.

“Bilik gerakan bencana banjir negeri Terengganu sentiasa bersiap siaga di 8 daerah dan menjangkakan keadaan angin kuat masih berlaku antara 40 hingga 50km sejam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada jam 9.45 pagi tadi, pusat pemindahan terakhir di Setiu yang menempatkan 54 mangsa daripada 9 keluarga ditutup.

Berdasarkan rekod sekreteriat tersebut, sepanjang bencana banjir yang bermula 20 Januari lalu, daerah pertama yang terjejas ialah Besut dan keesokannya diikuti daerah Setiu, Hulu Terengganu dan Kemaman hingga menyebabkan 4,293 mangsa terpaksa dipindahkan.

Sehingga hari ini, jumlah tertinggi mangsa dicatatkan ialah 6,676 orang sebelum ia berkurangan selepas tempoh itu.

Sementara itu, pada fasa pertama banjir yang berlaku pada 29 November hingga 1 Disember lepas, jumlah mangsa terlibat ialah 521 orang di daerah Kemaman dan Kuala Terengganu, manakala pada fasa ke-2 (26 hingga 28 Disember lalu) melibatkan 114 mangsa di daerah Kemaman sahaja.

Fasa ke-3 yang bermula 31 Disember hingga 9 Januari lalu merupakan fasa agak kritikal apabila 21,218 orang terpaksa dipindahkan melibatkan 8 daerah di Terengganu.

Hulu Terengganu mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 6,645 orang diikuti Besut seramai 6,304 orang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.