
Bekas perdana menteri memetik laporan bertajuk “Direktorat Perisikan” bertarikh 5 Mac 1985 untuk membuktikan dirinya tidak bersalah.
Menyatakan laporan itu bukan sejenis laporan khusus mahupun dapatan kes Bumiputra Malaysia Finance (BMF) dan cuma laporan maklumat biasa, Dr Mahathir berkata:
“Laporan CIA itu sendiri mengakui perdana menteri tidak terlibat, secara peribadi atau secara langsung dikaitkan kepada isu BMF.
“Pengakuan itu boleh didapati pada muka surat 4 laporan itu di bawah tajuk ‘Menilai Kesan Politik’, yang menyatakan: ‘Sehingga kini hubungan langsung antara (Dr) Mahathir dan rasuah di BMF tidak dapat dipastikan…'”
Mempertahankan dirinya, Dr Mahathir turut merujuk kepada beberapa perkara dalam laporan CIA itu, serta merujuk ke halaman yang tepat dalam dokumen di mana perkara tertentu dinyatakan:
* Seawal bulan Julai 1983, (Dr) Mahathir mengumumkan pengendalian pinjaman kewangan oleh BMF dibuat secara kurang bijak, dan berjanji tindakan akan diambil selepas siasatan;
* Suatu jawatankuasa siasatan (jawatankuasa siasatan khas) ditubuhkan untuk meneliti isu BMF. Rekod menunjukkan jawatankuasa tersebut, diketuai oleh bekas ketua audit negara (Tan Sri) Ahmad Noordin (Zakaria), mengemukakan cadangan yang perlu untuk tindakan lanjut.
Dr Mahathir berkata: “Pastinya tidak ada usaha untuk menutup laporan itu dalam apa jua cara. Sama ada pihak berkuasa membawa mana-mana pihak ke mahkamah adalah bagi mereka untuk menjawabnya. Kerajaan menjalankan tugas secara betul seperti yang diperlukan pada masa itu.”
Dr Mahathir menambah kenyatannya berhubung isu BMF diterima baik oleh rakyat, termasuk pembangkang dan kumpulan politik lain.
Sebelum ini dilaporkan dokumen CIA itu mendakwa meskipun hubungan langsung antara Dr Mahathir dan skandal BMF “tidak dapat dipastikan”, “tanda-tanda hubungan” itu sudah merosakkan pentadbirannya.
Menurut laporan itu, aspek paling menjejaskan daripada skandal itu adalah “dakwaan hubungan antara George Tan (bekas ketua pegawai eksekutif kumpulan Carrian) dan pegawai Umno.”
Skandal BMF menggemparkan awal 1980-an, apabila cawangan bank di Hong Kong didapati memberi pinjaman kepada beberapa syarikat meragukan, termasuk unit Carrian Holdings Ltd.
Ratusan juta dolar hilang sekelip mata apabila kumpulan Carrian terkubur pada 1983, menjadi kes kemuflisan terbesar dalam sejarah Hong Kong.
Seorang juruadit Bank Bumiputra yang menyiasat skandal itu dibunuh, dan kerajaan menyuntik berbilion ringgit untuk membantu Bank Bumiputra.
Mereka yang bertanggungjawab didakwa di mahkamah Malaysia dan Hong Kong.
Pengerusi BMF Lorrain Esme Osman hidup dalam buangan sehinggalah beliau meninggal dunia di London pada 2011.