KTMB: Perkhidmatan antara bandar laluan selatan pulih

KTMB: Perkhidmatan antara bandar laluan selatan pulih

Laluan pantai timur masih mengalami gangguan dan terkini tanah runtuh di laluan antara Kuala Lipis-Chegar Perah

ktm_train_6001
KUALA LUMPUR:
Perkhidmatan kereta api antara bandar Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di laluan selatan yang mengalami gangguan sejak Rabu lepas, kembali pulih hari ini.

Dalam satu kenyataan, Unit Komunikasi Korporat KTMB bagaimanapun berkata perjalanan tren akan mengalami sedikit kelewatan kerana tren perlu diperlahankan di kawasan yang dibaik pulih.

“Bagi laluan pantai timur, perkhidmatan tren masih mengalami gangguan dan terkini berlaku tanah runtuh di laluan antara Kuala Lipis-Chegar Perah di Km 250,” kata KTMB.

Susulan kejadian itu, perkhidmatan tren No. 26 dan No. 27 (Tumpat-JB Sentral-Tumpat) hanya beroperasi di laluan JB Sentral-Jerantut dan Kuala Krai-Tumpat.

KTMB berkata penumpang akan dibawa menggunakan bas bagi laluan Jerantut-Kuala Krai.

Tren ‘shuttle’ pantai timur (Kuala Lipis-Gua Musang-Dabong-Kuala Krai-Tumpat) pula beroperasi antara laluan Kuala Krai-Tumpat sahaja.

“Penumpang yang tidak ingin meneruskan perjalanan layak menerima pemulangan tambang penuh bagi semua perkhidmatan tren pantai timur yang terjejas. Tuntutan boleh dibuat sebelum tren atau bas berlepas,” kata KTMB.

Untuk maklumat lanjut penumpang boleh menghubungi pusat panggilan KTMB di 03-22671200 atau layari laman sesawang rasmi di www.ktmb.com.my.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.