
“Mereka ini sasaran mudah untuk kumpulan pengganas IS,” kata pakar keganasan yang menasihati polis dalam isu membabitkan pengganas, Ahmad El Muhammady.
Ahmad berkata 80% daripada rakyat Malaysia yang ditahan atas kaitan keganasan merupakan golongan muda yang mempunyai sifat demikian.
“Sering kali, golongan muda ini disogok dengan separa kebenaran,” Ahmad memberitahu FMT dalam satu wawancara.
“IS memberikan mereka wawasan, pengertian malah matlamat baharu kehidupan, iaitu perkara yang mereka mahukan selama ini. Tetapi mereka tidak sedar yang diri mereka diperalatkan. Mereka percaya apa yang diperjuangkan adalah demi kebenaran dan sedia maklum risikonya.”
Ahmad merupakan pensyarah Pengajian Islam dan Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dan menasihati polis dalam program pemulihan tahanan pengganas.
Beliau pernah menemuramah lebih 50 tahanan, ada yang berusia 14 tahun.
“Ada antara mereka terlalu muda dan jahil untuk mengetahui maksud jihad,” katanya.
Dalam temuramahnya, Ahmad mendapati kebanyakan mereka tidak stabil emosi dan keadaan psikologi.
Mereka merasai kekosongan hidup, dan apabila didekati IS, mereka merasakan nafas baharu dalam kehidupan mereka dan pedoman hidup.
Satu contoh diberikan Ahmad ialah seorang remaja 16 tahun yang diberkas tahun lalu, selepas mengugut seorang wanita di sebuah pasar raya di Sungai Petani, sambil memakai topeng ala IS.
Remaja itu dijatuhkan hukuman penjara dan kini mengikuti program pemulihan. Dia juga bakal menduduki peperiksaan SPM tahun ini.
Pihak berkuasa menyifatkan insiden Sungai Petani itu sebagai tindakan sendiri, tetapi remaja itu menerima arahan untuk membunuh bukan Islam kerana dipengaruhi dakyah kononnya Islam membenarkan umatnya melancarkan peperangan di Malaysia.
Ahmad berkata walaupun ramai yang berkait IS ditahan, kumpulan itu masih aktif menarik ahli baharu di negara ini.
Satu strategi penyokong mereka ialah dengan mengibarkan bendera IS, iaitu kalimah syahadah berlatar belakang warna hitam, bagi menakut-nakutkan orang ramai.
Bagi Ahmad, program pemulihan Malaysia merupakan antara terbaik di dunia, tetapi mengakui ia belum sempurna, kerana masih ada kes di mana tahanan kembali melakukan aktiviti lama.