
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata beliau belum mendapat laporan lengkap mengenai nilai kerosakan sekolah semasa gelombang ke-2 banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Perak dan Sabah awal bulan ini.
“Bagi gelombang ke-2 banjir, kita menjangka jumlah nilai kerosakan mungkin lebih tinggi berbanding gelombang pertama. Kita akan ambil tindakan serta merta untuk membaiki kesemua sekolah yang terjejas.
“Bagaimanapun, kita tak sempat lagi membaiki kerosakan sekolah akibat gelombang pertama banjir walaupun kita sudah menghantar waran peruntukan ke sana,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Felda Lubuk Merbau di sini, hari ini.
Banjir itu turut menyebabkan berpuluh-puluh sekolah ditutup hingga menjejaskan lebih 15,000 pelajar di Kelantan dan Terengganu.
Dalam pada itu, beliau yang juga ahli Parlimen Padang Terap mencadangkan tanah kuarters guru Sekolah Kebangsaan Lubuk Merbau diserahkan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi tujuan pembangunan rumah generasi ke-2 Felda Lubuk Merbau.
“Ia dibina untuk penempatan guru pada 1970-an namun, dengan kemajuan infrastruktur yang semakin moden, ramai guru tinggal di luar dan sekarang kuarters itu hanya diduduki oleh satu atau dua penghuni sahaja,” katanya.