
Masalah yang semakin melarat itu dibangkitkan selepas penangkapan 2 wanita yang mempunyai kaitan dengan IS dan didakwa merancang serangan berani mati di negara majoriti Islam paling ramai di dunia itu pada Disember, lapor Institut Analisis Dasar Konflik (Ipac) yang berpangkalan di Jakarta.
Ramai dari Indonesia — yang lama memerangi militan Islam — menyertai IS di Timur Tengah, sementara pelampau dalam negara berikrar taat setia kepada kumpulan itu serta beberapa serangan dan plot dikaitkan dengan kumpulan jihad.
Tetapi keghairahan wanita Indonesia terlibat dalam radikalisme, bukan sekadar menyokong suami ekstrem mereka, menimbulkan risiko baru, lapor Ipac, yang diketuai penganalisis keselamatan veteran Indonesia, Sidney Jones.
“Wanita Indonesia dalam pertubuhan pelampau mengikuti amalan maut rakan-rakan mereka di negara lain,” menurut kajian mereka.
Penglibatan perempuan yang semakin meningkat dikaitkan dengan tarikan IS dan kecanggihan media sosial, yang membolehkan lebih ramai wanita membaca propaganda kumpulan jihad dan menyertai forum sembang radikal, menurut laporan itu, yang diterbitkan semalam.
Kes paling berprofil tinggi adalah tangkapan 2 bekas pembantu rumah, Dian Yulia Novi dan Ika Puspitasari, yang didakwa menawarkan diri secara sukarela untuk menjadi pengebom berani mati di Jakarta dan Bali.
Radikal IS Indonesia terkemuka Bahrun Naim, yang dituduh mengarahkan beberapa plot keganasan yang gagal terhadap negaranya dari Syria, memberikan arahan dan sokongan kewangan kepada mereka, menurut laporan itu.
Pihak berkuasa menahan Novi dan suaminya pada malam sebelum serangan yang dirancang terhadap istana presiden di Jakarta dan kemudian menangkap Puspitasari, yang juga menganggotai rangkaian yang sama dan merancang melakukan pengeboman di pulau Bali, kata laporan itu.
Wanita lain ditangkap untuk kesalahan seperti menubuhkan badan amal pro-IS, membantu pembikinan bom, dan menjadi pejuang dalam kumpulan militan di Sulawesi.
Ipac menyeru kerajaan Indonesia untuk mencuba mengetahui lebih lanjut mengenai rangkaian pelampau perempuan, termasuk menemubual wanita yang dihantar pulang dari Turki selepas didakwa cuba memasuki Syria untuk menyertai IS.
“Keperluan untuk mengetahui lebih lanjut tentang wanita pelampau Indonesia tiba-tiba menjadi penting,” katanya.
Agensi anti-pengganas Indonesia tidak mahu memberikan komen.