Polis ‘boleh lihat dari jauh’ perogol bersiri Kanada

Polis ‘boleh lihat dari jauh’ perogol bersiri Kanada

Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya sedar kebimbangan masyarakat umum terhadap kepulangan Selva Kumar Subbiah ke Malaysia dan polis akan bertindak mengikut undang-undang.

Khalid-Abu-Bakar_Selva-Kumar_600
PETALING JAYA:
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis hanya dapat “memerhatikan dari jauh” perogol bersiri Kanada yang akan dihantar pulang ke Malaysia tidak lama lagi.

Khalid berkata polis juga perlu mematuhi undang-undang dalam negara dan tidak boleh bertindak sesuka hati terhadap Selva Kumar Subbiah, jika dia tidak melakukan kesalahan di sini.

“Kami risau juga tetapi kami perlu mematuhi undang-undang negara. Kami tidak ada kuasa selain memerhatikan dia dari jauh,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan masyarakat di negara ini susulan Selva Kumar, 56, akan dihantar pulang selepas selesai menjalani hukuman penjara 24 tahun di Kanada, pada bulan lalu.

Selva Kumar yang dijangka dihantar pulang ke Malaysia pada hujung minggu ini akan diiringi 3 pengawal dari Agensi Perkhidmatan Sempadan Kanada, menurut akhbar Kanada.

Andrew Laut yang mempengerusikan perbicaraan Lembaga Pelarian Kanada semalam menggambarkan Selva Kumar sebagai pesalah paling teruk dan berisiko tinggi yang pernah dibawa di hadapannya sepanjang kerjayanya.

Selva Kumar menghabiskan hukuman penjara ke atasnya pada 29 Januari, selepas disabitkan bersalah dalam 2 perbicaraan berasingan, lebih 2 dekad lalu atas kesalahan dadah dan serangan seksual terhadap 30 wanita.

Khalid berkata Interpol mengesahkan secara rasmi pada Malaysia yang Selva Kumar akan dihantar pulang ke Malaysia dalam tempoh terdekat.
Khalid juga bersetuju dengan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamad yang memberitahu wartawan minggu lalu, sudah tiba masanya negara membuat senarai daftar pesalah seks, susulan kes Selva Kumar.

Nur Jazlan berkata pendaftaran itu akan membantu masyarakat umum supaya lebih berhati-hati terhadap sesiapa yang mungkin boleh menjadi ancaman kepada anak mereka.

Katanya, banyak negara Barat sudah pun melaksanakan senarai daftar itu dan ia juga boleh bertindak sebagai penghalang kepada penjenayah.

Saya sedia ke Malaysia, kata perogol bersiri selepas bebas di Kanada

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.