Caj rawatan gigi pesakit luar di hospital kerajaan kekal

Caj rawatan gigi pesakit luar di hospital kerajaan kekal

Walaupun terdapat keperluan kenaikan caj kerajaan terus meneruskan subsidi, kata ketua pengarah kesihatan.

noor-hisham-rawatan-gigi
PUTRAJAYA:
Caj rawatan pergigian bagi pesakit luar di hospital kerajaan kekal pada kadar sama berikutan kerajaan terus komited memberikan subsidi tinggi kepada rakyat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata pesakit luar hanya perlu membayar RM2 bagi perkhidmatan penskaleran dan penggilapan gigi (cuci gigi), RM2 untuk tampalan gigi dan RM1 untuk cabutan gigi.

“Walaupun sememangnya terdapat keperluan kenaikan caj bagi prosedur rawatan sedia ada, kerajaan terus komited memberikan subsidi yang tinggi bagi rakyat termasuk rawatan pesakit luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham memberikan contoh bagi penskaleran dan penggilapan gigi, kos rawatan pesakit luar bersubsidi di Kementerian Kesihatan adalah RM55 mengikut kadar caj prosedur 2017, namun pesakit luar yang diberi subsidi tinggi hanya perlu membayar RM2 sahaja.

Beliau berkata caj bagi prosedur rawatan sedia ada dalam Perintah Fi (Perubatan) 1982 tidak pernah disemak selama 35 tahun sedangkan kos sebenar meningkat.

Justeru, katanya, perintah fi tersebut dikemas kini di mana Perintah Fi (Perubatan) (Pindaan) 2017 menunjukkan kos rawatan asas semasa (bersubsidi) bagi rawatan pergigian di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dr Noor Hisham menjelaskan kadar subsidi semasa sebenarnya bertambah berbanding dahulu.

Katanya seperti yang diamalkan bagi bil di hospital untuk pesakit dalam, pesakit luar pergigian akan diberikan pemakluman caj rawatan yang akan menunjukkan kos sebenar rawatan yang disubsidi oleh kerajaan.

“Oleh itu, senarai caj yang disenaraikan dalam Perintah Fi (Perubatan) (Pindaan) 2017 bagi pesakit luar adalah untuk kegunaan pihak hospital dan klinik bagi memudahkan pemakluman tersebut,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata pengecualian bayaran bagi golongan tertentu pula adalah dikekalkan seperti sedia ada mengikut tatacara digariskan.

Cabut gigi klinik kerajaan RM15 mulai Mac?

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.