
Seorang daripada mangsa, Saravanan Parameswaran, 23, memberitahu suruhanjaya mereka tidak melakukan kesalahan tetapi ditahan selama 60 hari dan kini selepas dibebaskan kaki dipasang alat pengesan.
“Kalau kami melakukan kesalahan, anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor boleh tangkap. Kami tidak kisah dipenjarakan tetapi kami tidak lakukan kesalahan.
“Tetapi, dalam serbuan pada jam 1 pagi, anggota polis dari IPD Bukit Aman datang ke rumah dan terus tahan kami di bawah Poca,” katanya sewaktu ditemui di Ibu Pejabat Suhakam, hari ini.
Beliau dan 2 rakannya, Sathiaseelan Letchumanan, 22, dan Lingeswaran Rangasamy, 22, ditahan pada 29 November 2016 di rumah masing-masing dan dibebaskan pada 25 Januari lalu.
Saravanan yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) berkata, mustahil beliau melakukan kesalahan jenayah kerana menghadapi masalah fizikal di tangannya.
“Sekarang ini, dalam tangan ada wayar, besi diletakkan. Saya sendiri tidak boleh mengangkat barangan berat.
“Bagaimana saya mahu angkat parang, angkat pasu bunga dan pecahkan cermin rumah?” katanya yang kehilangan 2 jari kiri akibat dipotong kumpulan gengster pada 2015.
Tambah Saravanan, selepas ditahan 60 hari dan dibebaskan tanpa sabitan, beliau dan 2 rakannya dipasang pula dengan alat pengesan di kaki kiri.
Malah, sehingga hari ini beliau tidak tahu apakah nasibnya pada masa depan sama ada dibuang daerah, dipenjarakan atau kedua-duanya.
Katanya, tindakan itu menyebabkan emosi mereka terganggu ekoran pandangan serong masyarakat setempat.
“Saya malu pakai seluar pendek, orang tengok kami dan kata kami gengster. Malah, semua orang mengata yang kami pernah duduk di dalam lokap,” katanya.
Sebelum itu, Saravanan hadir ke Suhakam bersama Pengerusi Biro Aduan Rakyat PKR, S Manikavasagam menyerahkan memorandum kepada Pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph.
Manikavasagam berkata, bagi membela nasib 3 individu itu, pihaknya akan membawa mereka membuat aduan dan laporan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) minggu depan.
“Ia kerana akta ini melanggar hak asasi manusia. Mereka diletakkan gelang kaki seperti anjing. Mereka tidak pernah mengebom manusia atau sesiapa.
“Menteri berjanji di dalam Dewan Rakyat, akta ini digunakan untuk militan, pengganas dan jenayah berat. Bukannya jenayah yang tidak mereka lakukan,” katanya.
Manikavasagam turut hairan apabila melalui pemerhatiannya mendapati kebanyakan orang India ditahan dan menjadi mangsa kepada Poca.
Jerald yang mendengar keluhan dan laporan 3 individu itu berkata, Suhakam sendiri tidak bersetuju dengan pelaksanaan Poca yang menurutnya melanggar hak asasi manusia dan berjanji akan melakukan siasatan.
“Sewaktu Poca digubal, ia khusus untuk kes jenayah berat seperti militan. Tetapi banyak kes yang kita terima sama seperti ini, di mana kesnya tidak jelas.
“Poca juga satu pelanggaran hak asasi. Dari dulu lagi Suhakam mengatakan akta ini tidak sama seperti akta lain, kerana tidak boleh dibawa ke mahkamah,” katanya.
Poca adalah akta digubal bagi menangani kegiatan jenayah seperti samseng, jenayah terancang, dadah dan pemerdagangan manusia.
Di bawah Poca, suspek boleh ditahan tanpa perbicaraan sehingga 2 tahun.