Kerajaan sudah sediakan daftar pesalah seks kanak-kanak

Kerajaan sudah sediakan daftar pesalah seks kanak-kanak

Maklumat sulit itu hanya boleh didapati melalui permintaan kepada ketua pengarah JKM, namun tiada jaminan permintaan itu akan dipenuhi.

child
PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sudah menyediakan Daftar Kanak-kanak ketika beberapa pihak mengkritik kerajaan lambat bertindak terhadap perkara itu.

Daftar Kanak-kanak ialah pangkalan data yang menyenaraikan nama pesalah membabitkan mangsa kanak-kanak dan jenayah mereka yang diwujudkan di bawah Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 (Akta A1511).

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini berkata, Daftar Kanak-kanak sudah disediakan dan boleh didapati dengan membuat permohonan kepada ketua pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, dengan adanya senarai itu, majikan yang menjalankan perniagaan berkaitan kanak-kanak seperti pengasuh, pengusaha kantin, pemandu bas sekolah atau pengawal keselamatan boleh menyemak jika pemohon pernah melakukan sebarang jenayah terhadap kanak-kanak, termasuk jenayah seksual.

“Fungsi Daftar Kanak-kanak ini lebih bersifat pencegahan demi memastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada pesalah dan mengurangkan risiko pesalah mengulangi jenayah terhadap kanak-kanak.”

Bagaimanapun, kementerian itu menegaskan Daftar Kanak-kanak berbeza dengan daftar pesalah jenayah seksual di bawah Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Yang Tidak Diingini 1969 yang berada di bawah kuasa Kementerian Dalam Negeri.

Semakan dengan kementerian itu mendapati setiap permintaan untuk maklumat itu akan dinilai, sebelum data sulit itu dikeluarkan.

Kelmarin, Adun DAP Selangor, Yeo Bee Yin mempersoalkan kerajaan lambat bertindak terhadap isu daftar pesalah seks, susulan kepulangan perogol bersiri, Selva Kumar Subbiah dari Kanada selepas menjalani hukuman penjara 24 tahun.

Yeo mengingatkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang 6 bulan sudah berlalu sejak Akta Kanak-kanak Pindaan 2016 diwartakan.

Tetapi, menurut laporan media, kementerian itu masih dalam peringkat perbincangan dengan polis untuk menyediakan daftar pesalah seks kanak-kanak.

Mengapa lewat wujud daftar pesalah seks, soal DAP

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.