Keluarga lelaki mati dalam lokap desak bedah siasat ke-2

surendran-mati-dalam-lokapKLANG: Ahli keluarga lelaki yang mati semasa dalam tahanan polis, S Balamurugan, 44, menggesa bedah siasat ke-2 dan anggota polis terlibat digantung tugas serta-merta.

Peguam keluarga, N Surendran berkata mereka melihat kesan luka, lebam dan darah di badan Balamurugan sewaktu dipanggil pihak hospital untuk mengenal pasti mayat.

“Ahli keluarga tidak berpuas hati terhadap apa yang berlaku kepada si mati dan keputusan bedah siasat kerana terdapat kesan luka dan lebam di seluruh badan.

“Malah, satu siasatan bebas harus dilakukan segera agar tindakan keras dapat diambil terhadap anggota polis yang menyebabkan kematian,” katanya sewaktu ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, hari ini.

Balamurugan ditahan di Batu Belah pada 6 Februari dan dibawa ke IPD Klang Utara. Keesokannya dibawa untuk direman di Mahkamah Majistret Klang.

Ketika itu, Balamurugan memberitahu keluarga dan peguam, beliau dipukul polis sewaktu di dalam lokap malah juga mengadu sukar bernafas dan berdarah.

Pada 8 Februari, kira-kira jam 6 pagi, 2 anggota polis hadir ke rumah Balamurugan dan memberitahu isterinya, Natthanan Yoochomsok, 38, suaminya meninggal dunia.

mati-dalam-lokap

Adik mangsa, S Balraj sewaktu sesi pengecaman mayat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang terkejut apabila melihat muka abangnya berlumuran darah yang kering.

Namun, Balraj tidak dibenarkan melihat keseluruhan anggota badan. Pakar patologi pula memberitahu Balamurugan mati disebabkan kegagalan jantung berfungsi.

Kata Surendran, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar harus menjelaskan kepada keluarga serta rakyat Malaysia mengenai perkara sebenar yang berlaku.

Seorang lagi adik Balamurugan, S Kumar pula melahirkan kekesalan atas kejadian itu dan tidak menjangka perayaan Thaipusam kali ini bertukar menjadi episod sedih buat mereka sekeluarga.

“Sepatutnya hari ini kami sambut perayaan Thaipusam, tetapi kali ini berlaku kematian pula. Saya sangat sedih,” katanya.

Isteri Balamurugan sewaktu ditemui bersama anaknya, Yanika, 14, menangis teresak-esak dan hanya berkata mahu suaminya kembali.

Peguam Balamurugan, Gerard Lazarus yang membuat laporan polis mendakwa terdapat salah guna kuasa dalam kalangan polis hingga menyebabkan kematian.

“Saya kecewa dengan tindakan polis balai Klang Utara. Mereka langsung tidak menghormati arahan dikeluarkan mahkamah agar membebaskan atau menghantarnya ke hospital bagi dapatkan rawatan.

“Bagi saya, apa yang terjadi kepada Balamurugan ini, seolah-olah ‘mati katak’,” katanya yang turut melihat kesan lebam dan pendarahan sewaktu Balamurugan dibawa ke mahkamah.

Ketika ini, mayat Balamurugan masih berada di bilik mayat, HTAR Klang ekoran keengganan ahli keluarga menerima mayatnya.

Mereka hanya akan menerima mayat itu sehingga siasatan penuh ke-2 dijalankan.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Datuk Yaacob Md Sam memberitahu pihaknya akan menubuhkan pasukan petugas mengikut peruntukan di bawah Seksyen 17 Akta EAIC 2009 (Akta 700) bagi menyiasat kes itu serta merta.

“Ia untuk mengenal pasti sama ada terdapat sebarang salah laku, termasuk perlakuan yang bersifat jenayah oleh pegawai polis semasa mengendalikan tahanan dan berkaitan kematian tahanan tersebut,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.