Jangan politikkan isu berus bulu babi, kata menteri

Jangan politikkan isu berus bulu babi, kata menteri

Hamzah Zainuddin ingin isu itu ditangani secara berhemah bagi mengelak berlakunya salah faham terutama dalam negara berbilang kaum dan agama.

Datuk-Seri-Hamzah-Zainudin
LARUT:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) meminta semua pihak supaya tidak menjadikan isu produk bulu binatang termasuk berus cat sebagai isu politik yang besar.

Menteri berkenaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, isu seperti itu perlu ditangani secara berhemah bagi mengelak berlakunya salah faham.

“Peniaga tidak tahu barangan yang mereka jual itu diperbuat daripada bahan apa kerana mereka tidak dimaklumkan ia diperbuat daripada bulu binatang,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Sungai Ara dekat Batu Kurau di sini hari ini.

Semalam, KPDNKK memberi tempoh sebulan kepada peniaga untuk melabel produk bulu binatang yang dijual kepada orang ramai.

Hamzah juga menafikan kenyataan sesetengah pihak yang mengatakan kementeriannya tidak serius menangani isu penggunaan produk dari binatang seperti babi dan anjing.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai tular dalam media sosial yang mengkritik KPDNKK tidak serius menangani isu produk yang diperbuat daripada babi dan anjing termasuk berus cat secara berhemah.

Hamzah turut menegaskan pihaknya mengarahkan pegawai penguat kuasa “turun padang” bagi menasihatkan peniaga untuk meletakkan label pada produk yang menggunakan bahan daripada binatang sama ada babi atau anjing.

Pihaknya juga tidak akan mengeluarkan saman terhadap peniaga dalam tempoh sebulan ini sebaliknya memberi nasihat secara berhemah supaya mereka mematuhi untuk melabelkan produk.

Menurut Hamzah, sekiranya peniaga masih tidak mematuhi perkara itu, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mengikut Perintah Perihal Dagangan (Barang-barang yang Diperbuat Daripada Bahagian Babi atau Anjing) 2013 yang menetapkan produk tersebut perlu dilabelkan.

Terdahulu, dalam ucapannya, Hamzah meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk membina sebuah gelanggang futsal di Kampung Sungai Ara bagi kemudahan belia di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, saya meminta penduduk di sini mencarikan tapak yang sesuai bagi pembinaan gelanggang berkenaan,” katanya.

Hamzah: Henti rampas berus bulu babi, elak perpecahan kaum

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.