PKR Sarawak akan tetap tolak usul Hadi

PKR Sarawak akan tetap tolak usul Hadi

Kita sama sekali tidak akan bersetuju, walaupun kepimpinan PKR nasional memutuskan sebaliknya, kata Baru Bian

baru-bian-sarawak-pkr-1
KUCHING:
PKR Sarawak berikrar menolak usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 walau apa pun keputusan kepimpinan parti nasional.

“PKR Sarawak konsisten dalam perkara ini, walau apa pun keputusan kepimpinan PKR.

“Jika kepimpinan nasional melawan pendirian kami, kita tidak akan berganjak,” kata Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian kepada pemberita hari ini.

Pada Mei lepas, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengerakkan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Pada Jumaat, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menghormati hak Hadi selaku ahli Parlimen untuk membentangkan usul itu dan walaupun sangsi, beliau akan mendengar penjelasan Hadi pada pembentangan bulan depan.

Bagaimanapun Baru hari ini berkata PKR Sarawak akan terus membantah sebarang usaha untuk meminda undang-undang syariah, walaupun ada jaminan unsur hudud tidak dimasukkan.

“Tidak ada ambang. Apa pun rupanya akhir nanti, ia masih hudud,” katanya.

Naib Ketua Wanita PKR Voon Shiak Ni dan Adun Batu Lintang See Chee How turut hadir di sidang media ini.

Baru menyeru Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Openg mengisytiharkan pendirian terhadap hudud secara jelas.

“Kini tanpa Adenan Satem bersama kita, penggantinya iaitu Abang Johari wajar menyakinkan rakyat Sarawak dengan mengesahkan pendirian Adenan mengenai hudud secara terbuka.

“Ketua menteri berulang kali mengatakan jemaah menteri masih pasukan Adenan dengan nakhoda baru.

“Oleh itu, sekiranya beliau boleh menyatakan kerajaan Sarawak masih menolak hudud maka ia akan melegakan kami.

“Langkah itu bertepatan dengan legasi Adenan bersuara untuk hak negeri Sarawak dan rakyatnya.

“Mempertahankan hak Sarawak dalam isu asas ini juga akhirnya memelihara integriti Malaysia sebagai sebuah negara sekular.”

Usul Hadi mahu menaikkan hukuman maksimum untuk kesalahan syariah kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 rotan daripada 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 rotan.

Sebelum kematiannya bulan lepas, Adenan mengarahkan 25 ahli Parlimen BN menolak usul itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.