Kes Jong-nam: Kawan kata Siti Aishah ‘naif’, tak mungkin ejen

Kes Jong-nam: Kawan kata Siti Aishah ‘naif’, tak mungkin ejen

Kawan kepada warga Indonesia yang ditahan dalam siasatan kematian Kim Jong-nam tidak percaya Siti Aishah terlibat kerana dia seorang yang naif dan sopan

Siti-Aishah_dead_polis_600
PETALING JAYA:
Saudara-mara dan bekas jiran kepada wanita yang ditahan dalam siasatan ke atas pembunuhan Kim Jong-nam, terkejut apabila mendengar penahanannya.

Siti Aishah, 25, disifatkan mereka sebagai seorang yang naif dan sopan. Dia disyaki terbabit dalam pembunuhan abang sebapa pemimpin Korea Utara itu.

“Saya terkejut mendengar dia ditahan kerana membunuh seseorang,” kata bekas bapa mertua Tjia Liong Kiong lapor Associated Press.

“Saya tidak percaya dia tergamak melakukan jenayah seperti itu atau seorang perisik seperti, seperti yang diperkatakan dalam media, walaupun saya tidak tahu apa dalam fikirannya.”

Perisik atau bukan, butiran wanita misteri itu secara perlahan-lahan mula muncul.

Antara 2008 dan 2011, Siti Aishah dan suaminya tinggal di sebuah rumah di kejiranan Tambora di barat Jakarta, lapor AP.

Memetik media Indonesia, detik.com, The Guardian melaporkan Siti Aishah pernah bekerja dengan Tjia di sebuah kedai pakaian di barat Jakarta, di mana beliau mengenai anaknya Gunawan Hasyim. Pasangan itu mempunyai seorang anak, Rio, pada 2009.

Selepas melahirkan Rio, Siti Aishah dan Gunawan berhijrah ke Malaysia untuk mencari kerja tetapi kemudiannya bercerai. Selepas perceraian itu Gunawan pulang ke Jakarta dan hidup bersama Rio.

Menurut laporan itu, Siti Aishah hanya pulang menemui Rio setahun sekali.

Detik.com berkata kali terakhir Siti Aishah melawat keluarganya Jakarta adalah pada 28 Januari. Laporan lain memetik pegawai imigresen Indonesia sebagai berkata dia meninggalkan negara itu pada 2 Februari.

Guardian turut menyebut laporan yang tidak disahkan dari sebuah laman web China yang mendakwa Siti Aishah didatangi di sebuah kelab malam dan ditawarkan AS$100 (RM445) untuk mengambil bahagian dalam “usikan TV realiti”.

Di Jakarta, ramai kawan-kawan Siti Aishah percaya dia diperdayakan untuk mengusik seseorang.

Bekas jirannya, Aminah, menggambarkan Siti Aishah sebagai seorang yang “naif” dan menambah tidak mungkin wanita muda itu terlibat dalam kematian Jong-nam.

“Saya tak percaya. Dia sangat baik dengan semua orang di sini, dia sangat naif.

“Tak mungkin dia sanggup bunuh seorang lelaki ternama. Tak mungkin. Mustahil,” kata Aminah lapor AP.

Siti Aishah salah seorang dari 2 suspek wanita yang ditahan dalam siasatan ke atas kematian Jong-nam, yang dibunuh di klia2 pada Isnin.

Pasport menunjukkan dia berasal dari Serang di wilayah Banten, yang berjiran dengan Jakarta. Dia lahir pada 11 Februari 1992 dan dari etnik Jawa.

Beliau ditangkap di sebuah hotel di Ampang pada awal pagi kelmarin. Semasa tangkapan, polis menemui mata wang asing bersusun-susun, termasuk 3 not AS$100.

Sumber polis percaya Siti Aishah meninggalkan suspek wanita yang lain, yang memegang pasport Vietnam, dan bersembunyi di hotel sehingga keadaan membolehkan dia meninggalkan negara ini.

Jong-nam, anak sulung bekas pemimpin Korea Utara Kim Jong-il, tiba di Malaysia pada 6 Februari dan dijadualkan berlepas ke Macau pada jam 9.00 hari Isnin. Di klia2, dia didatangi seorang wanita yang menyembur mukanya, manakala seorang lagi wanita menyerkup mukanya dengan kain.

Jong-nam kemudian mendapatkan bantuan perubatan dari kaunter khidmat klia2 tetapi meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu media mayat Jong-nam akan diserahkan kepada Kedutaan Korea Utara selaras dengan protokol antarabangsa dan selepas prosedur undang-undang berkaitan dengan keputusan bedah siasat yang selesai dijalankan pada Rabu malam diselesaikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.