Tragedi basikal, 8 remaja lagi masih di hospital

Tragedi basikal, 8 remaja lagi masih di hospital

Dua masih di ICU dengan tiada perubahan sejak semalam manakala 6 lagi dalam keadaan stabil dan sedang menunggu untuk menjalani pembedahan.

ayub-rahma-t
JOHOR BAHRU:
Lapan remaja yang cedera dalam kemalangan berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam berhampiran Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, di sini semalam masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Datuk Ayub Rahmat berkata 2 pesakit masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 6 lagi ditempatkan di wad dan dalam keadaan stabil.

“Sehingga kini (9 pagi tadi), semua 8 pesakit itu masih dalam rawatan. Dua masih di ICU dengan tiada perubahan manakala 6 lagi dalam keadaan stabil dan sedang menunggu untuk melakukan pembedahan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Dua yang masih berada di ICU ialah Mohamed Shamizal Iqmal Abdullah, 16, dan Muhd Nazri Mahmudi, 13.

Mereka yang berada di wad pula Muhammad Fitri Muhammad Fatoni, 17, yang cedera di pinggul dan luka di badan; Muhamad Farhan Che Mat, 16, (patah kaki kanan); dan Abdul Samad Abdul Kadir, 16, (patah kaki kiri).

Selain itu, Muhammad Arif Salman, 15, (cedera teruk di kepala) serta Muhammad Zulfadli Yusri, 19, dan Muhammad Arasshat Abdullah, 14, kedua-duanya patah kaki kanan juga ditempatkan di wad.

Insiden pada 3 pagi itu turut meragut nyawa 8 remaja apabila basikal dinaiki semua mangsa dirempuh sebuah kereta jenis Nissan Almera di jalan terbabit.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata ketika itu, sekumpulan 20 hingga 30 remaja berbasikal dipercayai menghalang Jalan Lingkaran Dalam dan jalan sekitar sebelum dirempuh seorang pemandu wanita.

Katanya, pemandu berusia 22 tahun dari arah Taman Pelangi itu dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh kumpulan remaja berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.