Sakit jantung bukan punca Jong Nam mati, kata pengarah kesihatan

Sakit jantung bukan punca Jong Nam mati, kata pengarah kesihatan

Tidak ada kesan jelas menunjukkan mayat ditusuk atau mengalami kesan luka.

norhisham
KUALA LUMPUR: Abang sebapa kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam meninggal dunia minggu lalu bukan disebabkan serangan jantung, kata ketua pengarah Kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, punca kematian Jong Nam sama ada diracun belum diketahui kerana pihaknya masih menunggu keputusan bedah siasat.

“Tidak ada bukti Jong Nam mati disebabkan sakit jantung. Malah, tidak ada kesan jelas yang menunjukkan mayat ditusuk atau mengalami kesan luka.

“Mayat ini menjalani bedah siasat lengkap, termasuk ujian tomografi berkomputer, bedah siasat luaran dan dalaman dan pemeriksaan forensik pergigian,” katanya pada sidang akhbar di Hospital Kuala Lumpur hari ini.

Pada pagi 13 Februari lalu, Jong Nam dilaporkan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk menaiki pesawat ke Macau, sebelum didatangi 2 wanita yang menekup mukanya dengan kain dan menyembur cecair beracun.

Jong Nam yang menggunakan nama Kim Chol pada pasportnya, dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Dr Hisham berkata, sehingga kini, ujian DNA masih tidak dapat dilakukan kerana tiada ahli keluarga yang tampil memberikan sampel mereka dan menuntut mayat Jong Nam.

“Analisis bedah siasat belum selesai. Pada masa ini, kita tidak ada DNA keluarga dan rekod kesihatan, kami masih menunggu kedutaan.

“Keputusan makmal masih dalam proses dan tidak ada bedah siasat ke-2 dijalankan ke atas mayat si mati,” katanya.

Semalam, Duta Korea Utara di Malaysia, Kang Chol menyifatkan permintaan Malaysia untuk menjalankan bedah siasat ke-2 sebagai “cubaan merosakkan mayatnya (Jong Nam)” yang melanggar hak asasi manusia dan menunjukkan “betapa terdesaknya mereka untuk menyalahkan kami”.

Kang turut mempersoalkan keputusan Malaysia melakukan bedah siasat dan mengingatkan Putrajaya yang Jong Nam memegang pasport diplomatik.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, tohmahan Korea Utara itu bersandarkan khayalan dan pembohongan serta sebarang dakwaan yang siasatan itu bermotifkan politik adalah “penghinaan besar kepada Malaysia”.

Usah pertikai kemampuan pasukan forensik, kata menteri

Malaysia anggap tuduhan Korea Utara ‘bohong, khayalan’

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.