
Lim Sian See, merujuk kepada catatan blog Dr Mahathir bertajuk “Proton”, berkata Dr Mahathir mengemudi Proton selama 32 tahun tetapi gagal.
Walaupun begitu, “Mahathir mahu status quo Proton dikekalkan dan tidak mahu berinya peluang untuk terus hidup, bebas dari kekangan pasaran domestik yang kecil dan melebarkan sayapnya ke pasaran antarabangsa dengan rakan usahasama”.
Lim Sian See adalah nama samaran seorang penulis blog yang tidak dikenali.
Sian See berkata Dr Mahathir mengkritik rancangan Proton untuk membawa masuk rakan usahasama kerana ia akan menyebabkan vendor dan pembekal komponen gulung tikar, menyebabkan “ramai pekerja hilang pekerjaan”.
Sian See berkata, “Nampaknya Mahathir prihatin dengan nasib pembekal dan vendor Prihatin. Dalam catatan pada Oktober, Mahathir mengadu Proton tidak beri kontrak pembekal kepada rakan-rakannya.
“Adakah Mahathir menegaskan kebajikan rakan-rakan pembekalnya yang menjadi kaya sejak beberapa dekad lalu kerana Proton adalah lebih penting daripada hayat Proton?”
Beliau menambah, “Mahathir menegaskan Malaysia mengenakan semula perlindungan ke atas Proton. Nampaknya lebih 3 dekad memaksa Malaysia membeli kereta berspesifikasi rendah dan lebih mahal dari sepatutnya sementara menanggung beban pinjaman jutaan ringgit masih tidak mencukupi.”
Penulis blog misteri itu mengingatkan Dr Mahathir bahawa Proton bukan lagi milik kerajaan tetapi milik DRB Hicom, milik Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.
Sian See berkata, “Jika Mahathir percaya dia boleh selamatkan Proton, dia patut minta DRB Hicom menjual Proton kepada anaknya.”
Beliau berkata majalah Malaysian Business meletakkan Mokhzani Mahathir di tangga ke-9 terkaya di Malaysia pada 2014 dengan kekayaan peribadi RM4.2 bilion.
Katanya langkah itu akan membolehkan Mokhzani mengedar kereta Proton di samping perniagaan pengedaran kereta Porsche miliknya.