Penerbangan Air Koryo Pyongyang-KL dihentikan sejak 2014

Penerbangan Air Koryo Pyongyang-KL dihentikan sejak 2014

Sekatan ekonomi PBB memaksa pihak berkuasa Malaysia menghentikan perkhidmatan syarikat penerbangan milik Korea Utara itu di negara ini.

kapal

GEORGE TOWN:Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) hari ini berkata syarikat penerbangan milik Korea Utara, Air Koryo tidak lagi menyediakan perkhidmatan penerbangan ke Malaysia sejak 2014.

Pengarah Pembangunan Penerbangan Mavcom, Germal Singh Khera berkata suruhanjaya itu menolak permohonan syarikat berkenaan untuk terbang ke Malaysia susulan sekatan yang dikenakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Korea Utara.

“Ia susulan Resolusi 2270 PBB yang mengenakan sekatan ekonomi terhadap Korea Utara,” katanya kepada FMT.

Air Koryo mendapat perhatian selepas polis pada sidang media semalam berkata salah seorang staf syarikat itu di pejabatnya di Malaysia, Kim Uk Il, 37, dikehendaki dalam siasatan pembunuhan Kim Jong Nam.

Pejabat maya Air Koryo di Kuala Lumpur tiba-tiba “tutup kedai”, mungkin akibat tumpuan media terhadap pembunuhan Jong Nam.

Worldwide Highsky Sdn Bhd, yang sebelum ini menjadi lokasi pejabat Air Koryo di Jalan Ampang juga sudah menurunkan papan tanda Air Koryo di luar pejabatnya, lapor The Star.

Akhbar itu juga melaporkan penyambut tetamu di syarikat yang menyediakan ruang pejabat pada Air Koryo juga “lari” selepas kru TV Korea Selatan datang merakamkan video di pejabat itu.

Rakyat Malaysia tidak memerlukan visa untuk ke Korea Utara dengan Malaysia menjadi salah satu negara yang mempunyai hubungan diplomatik penuh dengan Pyongyang.
Menurut ejen pelancongan, sejak penerbangan terus Air Koryo dihentikan pada 2014, laluan terpantas untuk rakyat Malaysia ke Pyongyang ialah ke Beijing terlebih dulu sebelum mengambil penerbangan Air Koryo atau Air China dari sana.

Ejen itu berkata pilihan lain ialah menggunakan kereta api dari Moscow ke Pyongyang, merentasi sempadan Rusia di bandar Khasan, tetapi perjalanan itu mengambil masa beberapa hari.

“Anda perlu ada agensi pelancongan untuk membolehkan anda ke Korea Utara. Kalau tidak pun, anda boleh ke Korea Selatan terus, dan kemudian naik kereta api ke utara,” katanya.

Ejen perjalanan tidak kenal suspek pekerja Air Koryo

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.