Jangan buat andaian, tunggu laporan akhir bedah siasat Jong Nam

Jangan buat andaian, tunggu laporan akhir bedah siasat Jong Nam

Timbalan menteri dalam negeri berkata siasatan masih belum lengkap, hanya laporan awal hasil ujian kimia dimaklumkan kepada pihak media.

jazlan
JOHOR BAHRU:
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed menasihati pihak berkaitan agar menunggu laporan akhir siasatan kes pembunuhan Kim Jong Nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, daripada membuat andaian.

Beliau berkata siasatan masih belum lengkap, hanya laporan awal hasil ujian kimia yang sudah dimaklumkan kepada pihak media.

“Kita tunggulah laporan akhir nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis ‘Memperkasa Kepimpinan Veteran Umno Merentasi Zaman” di Kompleks Tan Sri Mohamad Rahmat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan awal hasil ujian kimia mengenai bahan digunakan dalam kes pembunuhan pada 13 Feb itu yang dikenal pasti sebagai “VX Nerve Agent” yang tersenarai sebagai senjata kimia.

“Itu yang saya cakap tunggu sampai laporan akhir keluar dulu.

“Masalahnya, perbalahan yang berlaku antara Kedutaan Korea Utara dengan pihak polis ini pun akhirnya akan memberi kesan negatif kepada hubungan diplomatik kedua-dua negara.

“Kita hendak satu laporan yang betul-betul tamat dan pasti bagi menjelaskan kematian mangsa,” kata Nur Jazlan.

Pada 13 Feb lepas, Jong Nam yang mahu menaiki penerbangan ke Macau, berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) apabila 2 wanita didakwa menyapu muka mangsa dengan tangan mereka yang dipercayai disembur bahan beracun.

Jong Nam, yang memasuki negara ini dengan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Senjata pemusnah diharamkan PBB dikesan atas mayat Jong Nam

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.