DAP gesa UM gantung ‘profesor’ hina 2 pelajar India

bahasa,-fmt,-kl,-Malaysia,-rasis,-perkauman,-universiti-malaya,-m-kula-segaran.PETALING JAYA: DAP menggesa Universiti Malaya menggantung seorang pensyarahnya selepas aduan beliau bersikap perkauman terhadap 2 pelajar berbangsa India baru-baru ini.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, M Kula Segaran berkata pensyarah berpangkat profesor itu harus digantung jawatan segera sementara menunggu keputusan siasatan universiti tindakannya itu.

“Saya mengalu-alukan tindakan pantas dan sewajarnnya yang diambil pihak universiti terhadap aduan yang diterima.

“Tiada tolak ansur terhadap penghinaan perkauman terutama di universiti dan jika dakwaan itu didapati benar, tindakan disiplin tegas perlu diambil terhadap beliau,” kata beliau dalam kenyataannya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan mengumumkan penubuhan panel 5 anggota menyiasat pensyarah berkenaan, yang dituduh menghina 2 pelajar India.

Kamalanathan berkata, beliau menghubungi Naib Canselor Profesor Dr Mohd Amin Jalaludin, untuk mendapatkan penjelasan dan dimaklumkan mengenai siasatan itu dan dimaklumkan mereka akan mengeluarkan kenyataan awam mengenai penemuan dan keputusan selepas semua selesai.

Menurut mesej Facebook dimuat naik Lalitha Sudeshna, salah seorang pelajar itu, pensyarah berkenaan bertugas di Fakulti Pendidikan UM.

“Ketika kami mengambil tempat, beliau tiba-tiba berkata, ‘India, saya tak suka India duduk bersama-sama. Jangan bawa budaya Unitar ke sini. India duduk sama-sama lepas itu akan tiru assignment dan plagiarise. Saya kenal India’,” katanya menceritakan pengalaman bersama rakannya.

“Kemudian beliau berkata kepada saya, ‘You, baju merah, duduk depan sekarang’.

“Kemudiannya berkata kepada rakan saya, ‘You duduk sana’.”

Lalitha berkata ia bukan kejadian pertama dengan pensyarah berkenaan kerana pernah pernah menerima kata-kata menyakitkan ketika sesi orientasi pelajar.

“Perkataan pertama beliau sememangnya menyakitkan dan tidak memberi semangat, ‘Adakah anda fikir anda boleh buat Masters dengan hanya 2 tahun pengalaman? Anda dan rakan anda tidak akan boleh lulus bersama, saya cabar anda. Anda jalankan tugas anda dan saya akan jalankan tugas saya.’ Kata-katanya menghancurkan semangat kami yang dahagakan ilmu.”