
Berdasarkan kertas pertuduhan, Doan Thi Huong, 25, dan Siti Aisyah, 29, bersama 4 lagi individu yang masih bebas didakwa dengan niat bersama membunuh Jong Nam yang juga abang ketua Korea Utara, Kim Jong Un.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di balai berlepas klia2 kira-kira jam 9 pagi pada 13 Februari dan pertuduhan dikenakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama,membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Ketika pertuduhan dibacakan di mahkamah, kedua-dua wanita berkata mereka tidak bersalah.
Thi Huong yang menjadi terkenal selepas gambar seksi dan baju LOL turut berkata “I’m not killing (Saya tak membunuh)” kepada mahkamah.
Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Harith Sham Mohamed Yasin.
Siti Aisyah diwakili 5 peguam iaitu Looi Soon Seng, Azura Alias, Wong Kah Hung, Loke Kok Mun dan S Selvi manakala peguam S Selvam Shamugam mewakili Doan.
Ketua Pendakwa Raya Muhammad Iskandar Ahmad dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari dan Mustafa P Kunyalam mengendalikan kes itu.
Polis menahan Doan di klia2 sehari selepas kejadian manakala Siti Aishah ditahan di sebuah hotel di Ampang, Selangor pada 16 Februari lepas.
Identiti mereka dikenali menerusi rakaman CCTV di klia2 yang menunjukkan 2 wanita menyerang Kim Jong Nam dengan menyerkup wajahnya dengan cecair yang sudah pun dikenal pasti sebagai bahan racun kimia, agen saraf VX.
Majistret menetapkan 13 April untuk sebutan semula kes.
Jong Nam, anak sulung bekas pemimpin Korea Utara Kim Jong Il, tiba di Malaysia pada 6 Februari, dan dijadualkan menaiki pesawat ke Macau pada jam 9 pagi Isnin. Ketika di klia2, dia didatangi seorang wanita yang menyembur cecair ke arahnya, sementara seorang lagi wanita menyerkup mukanya dengan kain.
Mangsa cuba mendapatkan bantuan perubatan di kaunter perkhidmatan klia2 tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.