
Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan fenomena El Nino dan La Nina yang membawa hujan dan kepanasan melampau tidak akan berlaku tahun ini, dibantu keadaan neutral di Lautan Hindi yang akan berterusan sehingga akhir tahun.
“MetMalaysia juga melaporkan tiada perkara (cuaca) abnormal akan berlaku, sebagaimana terjadi pada 2014 dan 2015 yang dilihat antara pendorong berlakunya jerebu.
“Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga akan mengambil tindakan drastik menghalang masyarakat melakukan pembakaran terbuka bermula bulan depan kerana tidakan itu boleh menyebabkan situasi jerebu berkelompok terjadi seperti yang berlaku di Baram, Sarawak sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan hari ini yang turut disertai Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim.
Beliau berkata, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) turut membina telaga air tanah di 67 kawasan kering yang berisiko terbakar, selain pembinaan “check dam” atau sekatan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menghalang kebakaran di tanah gambut.
Junaidi berkata, keyakinan Malaysia bebas jerebu juga berdasarkan tindakan efisien pihak berkuasa Indonesia dalam menghadapi cabaran itu, antaranya menambah bilangan helikopter yang boleh melakukan operasi bom air.
Katanya, Indonesia juga sudah menubuhkan pasukan petugas khas yang akan bertindak mencari dan memadam segera kebakaran di kawasan kerap berlaku kebakaran hutan seperti di Kalimantan.
Malaysia juga komited menawarkan pesawat Bombardier untuk digunakan dalam operasi memadam kebakaran, katanya.
Pesawat jenis Bombardier CL 415 MP milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang boleh membawa sehingga 3,000 liter air setiap 6 saat itu pernah digunakan dalam operasi memadam kebakaran hutan di Indonesia pada 2015.