Suspek kes bunuh Jong Nam dihantar pulang ke Korea Utara

Suspek kes bunuh Jong Nam dihantar pulang ke Korea Utara

Ri Jong Chol, 47, direman sejak 18 Februari dibawa keluar dengan memakai pakaian kalis peluru dan meninggalkan IPD Sepang pada 8.50 pagi tadi.

Ri-Jong-Cholkorea_60021
SEPANG: Seorang lelaki warga Korea Utara yang ditahan untuk membantu siasatan kes pembunuhan Kim Jong Nam, abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, dibawa keluar dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini hari ini di bawah kawalan ketat.

Ri Jong Chol, 47, direman sejak 18 Februari berhubung pembunuhan Jong Nam, dibawa keluar dengan memakai pakaian kalis peluru dan meninggalkan IPD Sepang pada 8.50 pagi ini.

Lelaki berkenaan dibawa keluar dengan konvoi 6 kenderaan selepas tempoh remannya sejak 18 Februari lepas berakhir hari ini.

Dia ditahan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur pada 17 Februari lepas berhubung kes pembunuhan Jong Nam di klia2 oleh 2 wanita asing pada 13 Februari lepas.

Lebih 50 wakil media tempatan dan antarabangsa berkampung di depan pintu masuk IPD Sepang seawal 5 pagi selepas berita mengenai pembebasan dan pengusiran Jong Chol dilaporkan.

Laluan di depan IPD Sepang itu disekat kepada lalu lintas kira-kira 10 minit sebelum konvoi yang membawa Jong Chol keluar.

Peningkatan kehadiran pengamal media menyaksikan anggota polis mula membentuk barisan di depan pintu pagar premis itu pada 8 pagi bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini selain melancarkan aliran trafik.

Semalam, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata Jong Chol akan dibebaskan dan dihantar pulang ke negara asalnya berikutan kekurangan bukti untuk mendakwanya.

Difahamkan lelaki Korea Utara itu akan melalui proses dokumentasi oleh Jabatan Imigresen di Putrajaya sebelum diusir keluar ke negara asal hari ini.

Dalam kejadian itu, Jong Nam berada di klia2 bagi menaiki penerbangan ke Macau apabila tiba-tiba dihampiri 2 wanita yang dikatakan menyapu mukanya dengan tangan yang dilumur bahan beracun.
Jong Nam, yang menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Siti Aisyah, 25, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 28, warga Vietnam pada Rabu lepas dituduh di Mahkamah Majistret Sepang atas tuduhan membunuh Jong-nam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.