Kes Jong Nam: Kawalan pintu masuk diperketat elak suspek larikan diri

KLIA2-polis1

KUALA LUMPUR: Malaysia meningkat kawalan keselamatan di semua pintu masuk negara bagi menghalang suspek Korea Utara yang dikaitkan dengan pembunuhan Kim Jong Nam melarikan diri, kata ketua polis negara kepada Reuters.

Setakat ini, 2 wanita – masing-masing seorang dari Indonesia dan Vietnam – didakwa membunuh Jong Nam pada 13 Februari lalu.

Minggu lalu, laporan analisis awal Jabatan Kimia Malaysia mendapati bahan kimia Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphonothiolate atau agen saraf VX digunakan dalam pembunuhan Jong Nam.

Kedua-dua wanita itu dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) menyerang Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan polis masih memburu suspek lain, termasuk pihak yang memberi agen saraf VX yang dikategorikan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai senjata pemusnah besar-besaran, kepada mereka.

Pegawai Amerika Syarikat dan perisikan Korea Selatan percaya pembunuhan itu dilakukan ejen Korea Utara.

Polis Malaysia mengenal pasti 8 warga Korea Utara yang dikehendaki berhubung kes itu. Tetapi, satu-satunya suspek itu, lelaki bernama Ri Jong Chol dibebaskan hari ini kerana kekurangan bukti dan diusir dari Malaysia selepas hampir 2 minggu direman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu Reuters hari ini “sekurang-kurangnya 2 daripada mereka” dipercayai masih berada di Malaysia.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan mereka, tetapi polis pernah berkata mahu menyoal siasat Setiausaha Kedua Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur, Hyon Kwang Song, 44; pekerja syarikat penerbangan Korea Utara Air Koryo, Kim Uk Il, 37, serta seorang individu bernama Ri Ji U.

Khalid berkata, Hyon belum menghubungi polis walaupun permohonan sudah dihantar kepada kedutaan itu dan waran tangkap dikeluarkan untuk pekerja Air Koryo yang turut “menghilangkan diri”.

Shahriman Lockman, seorang penganalisis kanan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia berkata, ada kemungkinan mereka bersembunyi di Kedutaan Korea Utara – menjadikan mereka hampir tidak boleh disentuh.

Korea Utara berang dengan siasatan dijalankan Malaysia dan enggan menerima hakikat mangsa ialah Kim Jong Nam, walaupun mereka mengakui beliau ialah warganegaranya.

“Ini boleh berlarutan untuk suatu tempoh,” kata Shahriman.

Sementara itu, pihak berkuasa meningkatkan pemeriksaan di semua pintu masuk dan sempadan negara, termasuk di jeti, lapangan terbang dan jalan darat bagi menghalang suspek melarikan diri, kata Khalid kepada Reuters melalui mesej teks.

Empat suspek dipercayai meninggalkan Malaysia pada hari kejadian dan pulang ke Korea Utara melalui pesawat dari Indonesia, Dubai dan Rusia.

Polis Malaysia sudah meminta bantuan Interpol untuk menahan mereka.

Semalam, Malaysia membatalkan dasar pengecualian visa untuk warga Korea Utara memasuki negara ini mulai 6 Mac ini, ketika hubungan baik kedua-dua negara selama beberapa dekad, menjadi tegang ekoran kes pembunuhan Jong Nam.