
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini berikutan kerajaan Malaysia tidak mahu wujud sebarang elemen yang hendak menjadikan negara ini sebagai pangkalan agenda tersembunyi.
“Beliau masuk ke negara ini dengan hasrat untuk bekerja dengan sebuah syarikat, namun siasatan polis mendapati beliau tidak bekerja di syarikat berkenaan.
“Sebaliknya, aktiviti yang beliau lakukan ialah aktiviti yang kerajaan Malaysia tidak pernah kehendaki…kita tidak mahu elemen seperti ini berada di negara kita,” katanya selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-7 Majlis Belia Felda Malaysia, hari ini.
Beliau mengulas perkembangan terkini siasatan kes pembunuhan Jong Nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Februari lalu. Jong Nam dilaporkan menggunakan pasport atas nama Kim Chol semasa berada di negara ini.
Zahid berkata, Ri, 47, yang kini berada di depoh tahanan Jabatan Imigresen akan diterbangkan ke Beijing malam ini dan seterusnya ke Pyongyang, diiringi 2 pegawai Kedutaan Korea Utara.
Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali semalam berkata, perintah reman Ri sejak 18 Februari lalu tamat hari ini dan dia dihantar pulang ke negara asal kerana kekurangan bukti untuk mendakwanya.
Mengenai dakwaan 2 suspek yang dicari berhubung siasatan itu dipercayai “bersembunyi” di Kedutaan Korea Utara, Zahid berkata, beberapa prosedur diplomatik perlu dipatuhi.
“Selagi seseorang itu berada di mana-mana premis di mana-mana kedutaan, kita perlu mengikut peraturan prosedur diplomatik. Waran itu bukan sahaja untuk diserahkan, tetapi beberapa prosedur diplomatik perlu diikuti,” katanya.
Sementara itu, Zahid berkata, waris tidak semestinya datang ke negara ini untuk memberi sampel DNA bagi pengecaman mayat.
Ada kaedah lain untuk mendapatkan sampel berkenaan, katanya tanpa mengulas lanjut kaedah itu.
Ketika ditanya hubungan Kuala Lumpur dan Pyongyang berikutan Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol dilaporkan terus mengecam kerajaan Malaysia berhubung siasatan pembunuhan Jong Nam, Zahid membayangkan kedutaan itu akan membayar “harga mahal” atas tindakan berkenaan.
“Sebagai seorang duta, biarpun skripnya datang daripada sumber yang beliau sendiri ketahui, tetapi dia harus menghormati sistem perundangan, etika, budaya dan kelaziman yang dilakukan negara kita dan sistem diplomasi antarabangsa harus dihormati,” katanya.
Zahid sekali lagi menegaskan polis menjalankan siasatan secara profesional berdasarkan bukti kukuh menerusi 4 elemen, iaitu DNA, elemen forensik, bahan kimia yang digunakan dan rakaman kamera litar tertutup berdefinisi tinggi.
Jong Nam yang dihampiri 2 wanita dikatakan menyapu mukanya dengan tangan dilumur bahan beracun ketika berada di klia2, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
Dua wanita asing iaitu Siti Aisyah, 25, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 28, warga Vietnam, dituduh di Mahkamah Majistret Sepang kelmarin atas tuduhan membunuh Kim Chol.