Rundingan kerusi P Pinang, Sarawak selesai, kata Guan Eng

Rundingan kerusi P Pinang, Sarawak selesai, kata Guan Eng

Persetujuan akan mengelakkan pertembungan antara PKR dan DAP seperti yang berlaku dalam pilihan raya negeri Sarawak yang lalu

lim-guan
SUBANG JAYA:
Parti komponen Pakatan Harapan boleh bernafas dengan lega selepas mencapai suatu persetujuan mengenai pengagihan kerusi pilihan raya bagi Pulau Pinang dan Sarawak.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini mengesahkan rundingan bagi 2 negeri tersebut berjaya diselesaikan, tetapi enggan mendedahkan butiran perbincangan bagi negeri lain.

Beliau menegaskan rundingan mendalam hanya melibatkan DAP, PKR dan Amanah manakala rundingan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) setakat ini bersifat “am”.

PPBM yang dipimpin bekas pemimpin Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menyertai mesyuarat rundingan kerusi antara mereka dan PH pada 28 Februari, mencetuskan spekulasi ke atas prospek kerjasama antara mereka.

Bercakap kepada pemberita di Permukiman Kepimpinan DAP Kebangsaan 2017 di sebuah hotel di sini, Guan Eng berkata perbincangan terperinci antara PH dan PPBM perlu diadakan secepat mungkin.

Perkembangan ini tentu dialu-alukan oleh komponen PH, terutamanya di Sarawak yang pernah menyaksikan pertelagahan serius antara pemimpin tempatan.

DAP dan PKR bertembung di 6 kerusi negara pada pilihan raya negeri Mei tahun lepas, dan pemimpin kedua parti saling mengecam secara terbuka menuju hari pengundian.

Semua kerusi terbabit – Batu Kitang, Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong – dimenangi Barisan Nasional.

Guan Eng, yang juga menteri besar Pulau Pinang berkata pemimpin kebangsaan perlu meyakinkan akar umbi supaya mengelakkan pertandingan pelbagai penjuru supaya kegagalan dulu tidak berulang.

Beliau berkata “gambaran penuh dan menyeluruh” perjanjian di negeri lain akan diumumkan secara bersama apabila rundingan penuh diselesaikan “lagi cepat lagi bagus”.

“Walaupun kami mahu rundingan diselesaikan secepat mungkin, tetapi ia tidak boleh dibuat secara terburu-buru,” katanya.

Sementara itu, Guan Eng mengulangi sokongan DAP kepada usaha kerajaan persekutuan menuntut Pedra Branca (Pulau Batu Puteh), yang terletak di perairan Johor, dari Singapura.

Malaysia baru-baru ini memfailkan permohonan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) selepas penemuan fakta baharu dalam pertikaian sempadan itu. Fakta itu tidak diketahui oleh Malaysia dan ICJ apabila mahkamah memberi keputusan yang menyebelahi Singapura pada 2008.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pedra Branca, sementara Malaysia memiliki pulau kecil Middle Rocks (Batuan Tengah) dan South Ledge (Tubir Selatan).

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.