
Kumpulan itu menerusi kenyataan berkata, sekiranya ahli Parlimen mengimbau kembali dan memerhatikan pindaan perlaksanaan undang-undang syariah, ia seharusnya dilakukan berpaksikan kerangka Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan mengistiharkan status Perlembagaan Persekutuan, undang-undang persekutuan dan mahkamah sivil adalah lebih tinggi daripada enakmen undang-undang syariah negeri dan demi memastikan yang hanya wujud 1 sistem perundangan untuk semua,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sebelum ini, cadangan meminda RUU355 buat kali pertama dibawa ke Dewan Rakyat pada Mei 2016 dan usul itu sekali lagi dibaca oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 24 November lalu.
Usul cadangan pindaan itu dijangka dihuraikan lebih lanjut pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini.
G25 memberikan 5 sebab agar ahli Parlimen tidak menyokong RUU 355.
Antara sebabnya bidang kuasa mahkamah syariah terhad dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, Jadual Kesembilan Senarai Negeri Item 1, bidang kuasa mahkamah syariah ke atas penghukuman kesalahan ‘tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan’.
“Tujuan peruntukan ini ialah agar Parlimen dapat menjalankan fungsi pengawasan dan pengawasannya dalam penghukuman kesalahan, termasuk tatacara penghukuman yang dirangka oleh enakmen negeri agar Badan Perundangan Negeri tidak terbuka untuk memperuntukkan penghukuman kesalahan serta menjatuhkan hukuman,” katanya.
Sebab kedua adalah RUU355 meninggikan taraf mahkamah syariah dan mencelarukan penguatkuasaan.
“Hasrat untuk menjadikan mahkamah syariah setaraf dengan mahkamah sivil amat membimbangkan dan pasti mengejutkan masyarakat berbilang kaum apa lagi akan terjadi seterusnya kepada sistem perundangan negara.
“Sistem penghakiman sekular yang selari dengan sistem syariah bukan saja melanggar Perlembagaan, bahkan pasti timbul kecelaruan dalam penguatkuasaan undang-undang dan perintah-perintah tetap,” katanya.
Sebab ketiga ialah RUU355 menjauhkan pelabur dan mempunyai kesan kepada ekonomi.
“Negara pasti mengambil risiko besar dengan pelabur perniagaan asing dan domestik jika negara melangkah ke sistem perundangan yang bercirikan Islamik radikal yang dipandang keras dan tidak progresif sehala dengan nilai-nilai kehidupan moden,” katanya.
Sebab keempat adalah RUU355 akan menyebabkan negara ini selangkah kepada perlaksanaan hukuman hudud.
“Hujah-hujah penyokong PAS tegas menafikan yang pindaan kepada RUU355 itu bertujuan melaksanakan undang-undang jenayah syariah iaitu hudud. Rakyat curiga penafian ini kerana Kelantan di bawah kerajaan PAS sudah pun meluluskan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015.
“Rang Undang-undang Negeri Kelantan ini memperuntukkan hukuman hudud untuk kesalahan-kesalahan seperti zina, mencuri, merompak, liwat, minum arak dan murtad,” katanya.
Sebab kelima pula menyeru kerajaan mengutamakan urus tadbir kerajaan dan institusi awam yang baik dan lebih bermanfaat.
“Pemerintah yang baik, pemimpin yang jujur serta bertanggungjawab dan bersikap mengambil berat atas masalah orang-orang miskin dan kurang bernasib baik harus diutamakan untuk kemajuan ekonomi dan sosial negara. Ini lebih Islamik daripada perlaksanaan hudud,” kata kumpulan itu.