
Ketua Polis Selangor Datuk Seri Abdul Samah Mat mengesahkan suspek berjaya ditangkap kira-kira 3.30 pagi tadi hasil maklumat daripada keluarga mangsa.
“Pada 9 Mac 2017 lebih kurang jam 3.30 pagi, pihak polis berjaya menangkap suspek, seorang lelaki Cina berumur 32 tahun di Ampang, Selangor hasil maklumat dan kerjasama keluarga mangsa.
“Suspek menghubungi ahli keluarga mangsa sehari sebelum tangkapan dibuat dan meminta sejumlah wang untuk pembebasan pastor itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ssusulan daripada tangkapan itu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan suspek ditahan reman selama 4 hari bermula hari ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu dengan niat menculik atau melarikan secara paksa dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.
“Polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini,” katanya.
Abdul Samah meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat melapornya kepada polis dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penculikan tersebut.
Awal bulan ini, Raymond dilaporkan diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya, kurang dari 100 meter daripada Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya.
Ketika kejadian, beliau dalam perjalanan ke rumah rakannya di Kelana Jaya.
Keluarga Raymond menawarkan ganjaran RM100,000 untuk maklumat yang membawa kepada penemuan beliau.