SPRM tahan exco Johor berhubung rasuah hartanah

SPRM tahan exco Johor berhubung rasuah hartanah

Exco ditahan bagi membantu siasatan dan disiasat berkaitan pengubahan wang haram

macc-johor
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang anggota Exco kerajaan negeri Johor bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan penyelewengan hartanah di Johor Bahru.

Penahanan berkenaan disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata exco berkenaan ditahan pada 11.00 pagi di pejabat SPRM Johor selepas memberi keterangan kes berkenaan.

“Dia ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan dan disiasat berkaitan pengubahan wang haram,” katanya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM dan Seksyen 4 Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Di Johor Bahru, SPRM merampas 150 beg tangan pelbagai jenama, sebuah kenderaan jenis Vellfire dan wang tunai berjumlah RM41,000 hasil geledah di rumah exco berkenaan di sini sebaik selepas tangkapan dibuat.

Menurut kenyataan SPRM, Exco berkenaan akan direman di Mahkamah Sesyen di sini pagi esok.

Awal pagi tadi, dalam kes yang sama, 4 lelaki termasuk anak dan pegawai khas Exco berkenaan dibebaskan dengan jaminan SPRM sementara 3 lagi iaitu 2 pemaju dan seorang kontraktor dibebaskan dengan jaminan SPRM pada 3 Mac dan 7 Mac lepas.

Pada 24 Februari lepas, SPRM menahan 6 lelaki, selepas dipercayai terlibat rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri berkenaan.

Pada 28 Februari pula, SPRM menahan seorang lagi kontraktor lelaki dipercayai suspek ke-7 dalam kes berkenaan.

Berikutan itu, Exco terbabit memohon cuti daripada tugas rasmi kerajaan negeri, bermula 1 Mac sehingga siasatan berhubung skandal rasuah dan penyelewengan hartanah itu selesai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.