
Syarikat pemaju Country Garden Holdings sudah menutup semua pusat jualan di tanah besar China susulan tindakan keras Beijing membendung larian modal, lapor South China Morning Post (SCMP).
Wartawan akhbar itu berkunjung ke bilik pameran Forest City yang terbesar di Jalan Tianshan, Shanghai, dibuka pada Oktober 2016, namun pintu pagarnya berkunci dan ruang pameran kosong.
Notis di pintu kaca bilik pameran tertera “sedang diubahsuai” tetapi tiada kerja pengubahsuaian dilihat sedang berlaku di dalamnya, menurut laporan itu.
Jurucakap syarikat China itu mengesahkan kepada SCMP mereka sudah menutup semua pusat jualan di tanah besar China untuk pengubahsuaian. Bagaimanapun, beliau nafi ia ada kaitan dengan dasar kawalan modal Beijing.
Kenyataan dari Country Garden, yang dilaporkan Reuters, berkata: “Kumpulan Country Garden mematuhi peraturan berkaitan pertukaran asing dan menyesuaikan strategi pembangunan luar negara kami dengan dasar nasional dan antarabangsa yang sentiasa berubah dan persekitaran undang-undang.”
Terdapat berpuluh pusat jualan di China, menurut jurucakap itu. Syarikat berkata mereka mahu meluaskan capaian ke pasaran lain dengan mendirikan lebih banyak bilik pameran Forest City di negara lain termasuk Timur Tengah, India, Vietnam, Thailand dan Jepun, lapor Reuters.
Syarikat itu giat mempromosikan Forest City kepada warga China.
Namun laporan SCMP memetik Raymond Cheng, penganalisis hartanah CIMB Securities Hong Kong, sebagai berkata minat terhadap projek Forest City semakin berkurangan.
“Projek itu tidak menarik perhatian pembeli Malaysia manakala tindakan keras China ke atas larian modal pasti memperlahankan jualan di China,” katanya.
Beliau menambah ada kemungkinan tiada permintaan yang mencukupi daripada pembeli China untuk meneruskan jualan.
Seorang eksekutif Country Garden, yang mahu namanya dirahsiakan, memberitahu Reuters syarikat mahu membawa masuk beberapa projek China lain ke bilik pameran Shanghai untuk merangsang jualan domestik ketika kawalan modal menjejaskan jualan pangsapuri Forest City di China.
Projek Ryde Garden seluas 4,000 meter persegi di Sydney tidak terjejas, tambah eksekutif itu, kerana sebahagian besar pelanggan terdiri daripada pembeli domestik, walaupun kebanyakan mereka warga China yang menetap di Australia.
Forest City merupakan projek bandar pintar masa depan dibina atas 4 pulau buatan seluas 1,385.6ha. Menelan belanja RM100 bilion, ia dijangka siap dalam masa 20 tahun dan akan mempunyai pelbagai jenis kemudahan, termasuk unit rumah, pejabat dan pusat membeli-belah.
Menurut laporan SCMP, kerajaan China pada Januari melarang warganya menukar mata wang yuan kepada mata wang lain untuk pembelian hartanah luar negara dalam usaha membendung aliran keluar modal.
Pengurus besar pusat kewangan Country Garden, Wu Bijun, yang akan menjadi ketua pegawai kewangan pada April, memberi SCMP pada Januari bahawa projek mereka di Malaysia terjejas dengan tindakan keras kerajaan ke atas aliran keluar modal.
Alan Ho, bekas ejen jualan di syarikat Country Garden di Malaysia, berkata 90% pembeli Forest City berasal dari China.
Forest City setakat ini mencatatkan jualan menguncup sekitar 20 bilion yuan (RM12.9 bilion), menurut laporan itu.