
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman hari ini berkata beberapa perbincangan tidak rasmi diadakan sehingga kini dengan Korea Utara menerusi kedutaan mereka di Kuala Lumpur.
“Mereka mahu memulakan rundingan (rasmi). Tetapi sebelum kami mulakan rundingan kami perlu membincangkan banyak perkara (secara dalaman) dulu,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Anifah berkata kementerian pada masa ini sedang mengumpul input daripada pelbagai agensi termasuk polis dan Kementerian Kesihatan.
Katanya, lokasi pertemuan masih belum ditetapkan. Difahamkan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Ramlan Ibrahim akan mengetuai delegasi itu.
Beliau berkata pada masa ini keutamaannya ialah membawa pulang warga Malaysia secepat mungkin, walaupun tidak ada tarikh akhir ditetapkan.
Sehingga kini, 9 rakyat Malaysia masih terkandas di Pyongyang selepas Korea Utara melarang semua warga Malaysia meninggalkan negara itu ketika hubungan diplomatik antara 2 negara tegang susulan pembunuhan Kim Jong Nam di klia2 pada 13 Februari.
Pada mulanya terdapat 11 warga Malaysia – 9 staf kedutaan dan keluarga mereka serta 2 pekerja bantuan Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu – di Korea Utara tetapi 2 pekerja terbabit dibenarkan keluar.
Awal hari ini dilaporkan, 2 pekerja bantuan itu sudah tiba di Beijing.
Anifah berkata Malaysia menerima beberapa tawaran dari pelbagai negara yang sanggup memainkan peranan pihak ketiga dalam kemelut hubungan diplomatik itu, tetapi setakat ini masih belum ada keperluan berbuat demikian.
“Perbincangan dibuat secara terus dengan kedutaan Korea Utara. Setakat ini tidak perlu pihak ketiga. Harapnya kita tidak akan memerlukan bantuan pihak ketiga,” katanya.
Beliau berkata kedutaan lain di Pyongyang menawarkan untuk menyediakan bantuan yang diperlukan staf kedutaan Malaysia di sana.
Terdahulu, Anifah bertemu dengan ahli keluarga rakyat Malaysia yang terkandas di Korea Utara untuk memberi keyakinan berhubung keselamatan di sana.
Beliau turut memaklumkan ahli keluarga mereka boleh menghubungi bilik operasi kementerian yang dibuka 24 jam, jika memerlukan sebarang maklumat.
“Awal hari ini saya ada bercakap dengan Azrin (konsular kedutaan Mohd Nor Azrin Md Zain). Dia beritahu tidak ada apa-apa yang luar biasa di sana dan mereka bebas untuk bergerak,” katanya.
Katanya, Korea Utara juga memberikan jaminan rakyat Malaysia selamat di sana.
Berhubung mayat Jong Nam, abang sebapa pada diktator Korea Utara, Kim Jong Un, Anifah berkata ia masih perlu dibincangkan dan ia akan tetap diserahkan, sama ada kepada kedutaan Korea Utara atau waris.
Beliau berkata jika rakyat Malaysia di sana dapat pulang dengan selamat, tidak ada alasan untuk negara ini tidak mengekalkan hubungan diplomatik dengan Korea Utara.
Ketegangan antara 2 negara itu sampai kemuncaknya awal minggu lalu apabila Korea Utara melarang rakyat Malaysia keluar, dan Malaysia bertindak balas dengan mengeluarkan arahan sama terhadap warga Korea Utara di sini.
Kedua-dua negara mengusir duta masing-masing, mengisytiharkan mereka sebagai pesona non grata.
Ketegangan tercetus selepas Pyongyang membantah bedah siasat polis Malaysia terhadap mayat Jong Nam, yang maut selepas diserang 2 wanita menggunakan racun agen saraf.
Pihak berkuasa Malaysia mendakwa 2 wanita terbabit, masing-masing warga Vietnam dan Indonesia, atas pertuduhan membunuh.
Polis juga mengenal pasti 8 warga Korea Utara untuk disoal siasat, tetapi sudah pun dihantar pulang.